Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) akan meneruskan pelaksanaan program-program pembudayaan sains yang sedia ada.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, Kementerian juga akan memastikan program-program baharu yang bakal dilaksanakan kelak akan dapat meningkatkan minat dan penyertaan ramai murid dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matemaik (STEM).
Katanya, Kementerian juga terus mempertingkatkan lagi kolaborasi bersama pihak swasta dalam dan luar negara dalam sektor pendidikan tidak terhad kepada program STEM.
“Seperti sedia maklum, Kerajaan Negeri telah memulakan perundingan bersama Kerajaan Persekutuan dalam platfom autonomi pendidikan Malaysia Agreement 1963 bagi memastikan beberapa intervensi negeri serta keperluan pendidikan peringkat negeri dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dengan skop pembangunan sekolah-sekolah daif di seluruh negeri termasuk kemudahan-kemudahan seperti makmal dan cara pendidikan baru dalam usaha mengatasi masalah kekurangan warga pelajar sains di Sabah,” katanya ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dr. Mohd. Arifin berkata, berdasarkan analisis yang telah dilakukan, jelas terdapat perkembangan positif dalam usaha Kerajaan Negeri melalui KSTI untuk memperluaskan akses kepada pendidikan sains di negeri ini.
Katanya, pada tahun 2023, Pusat Sains Keningau yang telah dibina bagi memenuhi keperluan pendidikan sains di kawasan pedalaman, sebagai bukti komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan yang berkualiti untuk generasi muda Sabah.
“Melangkah ke hadapan, bagi tahun 2025, KSTI telah merancang untuk menambah dua lagi cawangan Pusat Sains di Sandakan dan Tawau dengan tajaan dari PETRONAS bagi mengukuhkan kerjasama strategik kerajaan dan industri.
“Penubuhan pusat-pusat sains ini dijangka akan memberi impak dalam menggalakkan minat dan kesedaran sains di kalangan pelajar serta masyarakat setempat, sekaligus membantu memperkasakan pembudayaan STEM di negeri ini.”
Dr. Mohd. Arifin berkata, sebanyak 300 buah peranti Starlink telah dipasang di 300 lokasi di seluruh Sabah yang telah dikenal pasti mempunyai masalah ketersambungan internet.
Katanya, pemasangan Starlink merupakan penyelesaian interim kepada Pelan Jalinan Digital Nasional (JENDELA) yang dijangka siap pada akhir tahun 2025.
Kawasan pemasangan merangkumi daerah seperti Tuaran, Tambunan, Ranau, Keningau, Kota Belud, Kota Marudu, Kuala Penyu, Tenom, Tawau, Kalabaka, Sandakan, Tongod, Pitas, Kunak, Kudat, Beluran, Telupid, Sipitang, Beaufort, Lahad Datu, Semporna, Nabawan, Sook, Papar dan Penampang.
“Sebagai penyelesaian interim, Kementerian sedang melakukan pemantauan ke atas penggunaan Starlink yang telah dipasang. Sekiranya capaian internet tersebut telah diperbaiki dengan siapnya JENDELA, Kementerian akan memindahkan peranti Starlink tersebut ke kawasan yang masih mempunyai masalah capaian internet.”
Kerajaan Negeri juga akan terus memantapkan penyampaian perkhidmatan melalui ICT agar lebih produktif dan mesra rakyat.
Kata Dr. Mohd Arifin, Kerajaan akan memanfaatkan teknologi IR4.0 dalam operasi pentadbiran Kerajaan Negeri seperti penggunaan Artificial Intelligence (AI) untuk kerja-kerja berulang dan urusan pentadbiran harian agar kakitangan perkhidmatan awam lebih produktif dan mampu melaksanakan tugasan yang lebih sukar dan berimpak tinggi.
Penggunaan AI ini akan digunakan dalam teknologi rangkaian komputer, keselamatan siber, sistem-sistem aplikasi dan beberapa lagi bidang lain, jelasnya, sambil menambah penggunaan maklumat biometrik dan tandatangan digital juga akan manfaatkan dalam urusan Kerajaan.
“Pada tahun 2025, Sabah NET akan menganjurkan pertandingan Drone MultiGP Sabah Chapter 2025 edisi Kedua, Sabah Net Cyberchallenge 2025 dan Sabah Net Youth eSport 2025@Keningau yang PERTAMA, selaras dengan pembangunan Bakat dan Ekosistem Industri Kreatif.”
KSTI komited membuat penyelidikan bagi tujuan Pembangunan Pusat Geospatial STI yang merangkumi pelaksanaan dan penyelarasan aktiviti penyelidikan serta sinergi antara agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan Institut Pengajian dalam bidang Geospasial.
Dr. Mohd. Arifin berkata, hasil kajian ini akan menyumbang kepada peningkatan penggunaan maklumat Geospatial dan berperanan penting dalam pelbagai aplikasi termasuk Perancang Bandar, Pengurusan Sumber Alam, Pemetaan Laut, Tindakbalas Bencana khususnya dalam tiga sektor utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan.
Katanya, dengan adanya platform yang efisien untuk perkongsian data ini, kita dapat mengelakkan pertindihan sumber, mengoptimumkan penggunaan maklumat, dan memastikan dasar-dasar yang dirangka lebih berasaskan bukti (evidence-based policy).
“Kemajuan dalam teknologi dan metodologi Geospatial antara instrumen penting membantu kerajaan membuat keputusan khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.”
Pada tahun 2025, Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) telah merancang dan menyusun aktiviti dan program yang akan dijalankan sepanjang tahun. Antaranya adalah program bersama komuniti di Perpustakaan Desa, sebanyak empat Perpustakaan Desa akan dikenal pasti untuk menjalankan program ini.
DR. Mohd Arifin menjelaskan, program tahunan lain akan diteruskan seperti World Quran Hour, Hari u-Pustaka, Jom Membaca untuk 10 minit, Minggu Perpustakaan 2025, Pameran Seni Lukis Kanak-kanak Malaysia-Jepun, Pesta Buku 2025, Bengkel Tactile, Karnival Baca Perdana dan Hari Inovasi serta aktiviti cuti sekolah.
“Projek pembangunan akan diteruskan dengan pembinaan bangunan cawangan Kunak, Tenom dan Kota Marudu. Bas bergerak Semporna, Beaufort dan Kudat akan diganti untuk memberi perkhidmatan di luar bandar.”
Beliau berkata, tahun 2025 akan menyaksikan pelaksanaan program yang lebih strategik dan berfokus kepada keperluan industri, termasuk latihan TVET berfokuskan industri.
Katanya, JPSM berhasrat memperluaskan program latihan TVET ke sektor baharu seperti teknologi boleh baharu (RE), Ekonomi Biru, teknologi kenderaan elektrik (EV), dan agropreneurship atau Keusahawanan Agro. Kerjasama strategik dengan penyedia latihan seperti MARDI, MARii dan peneraju industri melalui program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan latihan berasaskan teknologi tinggi.
“Program Latihan Berteraskan Digital JPSM merancang melaksanakan Program Latihan Berteraskan Digital yang memberi tumpuan kepada teknologi terkini seperti Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR), asas Kecerdasan Buatan (AI), serta pengkomputeran awan (cloud computing). Program ini bertujuan memperlengkapkan peserta dengan kemahiran digital relevan bagi memenuhi keperluan industri dan meningkatkan daya saing tenaga kerja.
“Program Agropreneurship dan HomeStay di Kundasang JPSM melaksanakan program seperti SLDN, kursus pendek, dan on-the-job training bagi mempromosikan sektor pertanian dan ekopelancongan di Kundasang dengan matlamat utama untuk meningkatkan kemahiran penduduk tempatan, memacu pembangunan ekonomi setempat, serta menjadikan Kundasang sebagai hab latihan pelancongan dan agro pertanian yang berdaya saing.
“ILTP merancang untuk menaik taraf blok perdagangan dan blok teknikal serta menyediakan ABL yang terkini dan selaras dengan perkembangan teknologi serta amalan industri semasa, bagi memastikan kualiti latihan yang terus relevan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata, Sabah Skills & Technology Centre (SSTC) pula akan terus memberikan fokus kepada penyediaan latihan kemahiran berasaskan keperluan industri dan permintaan pasaran kerja semasa.
Pada tahun 2024, KSTI telah melaksanakan pelbagai program pembudayaan STEM untuk menarik minat murid terhadap bidang ini.
Dr. Mohd. Arifin berkata, antaranya ialah program-program yang telah dilaksanakan iaitu Festival STEM yang melibatkan kerjasama dengan 24 buah Pejabat Pendidikan Daerah(PPD) di mana KSTI telah memperuntukkan RM15,000 kepada setiap PPD untuk melaksanan program tersebut; Program Outreach STEM, contohnya Kembara Sains Borneo dan Mini Teater STEM yang bertujuan untuk memupuk minat pelajar luar bandar dalam bidang STEM; dan Program Pameran Mobile Exhibition iaitu pameran bergerak yang bertemakan “Experiencing Science: Enlightening Innovation” yang telah dilaksanakan di dua buah lokasi iaitu PNS Tanjung Aru dan PNS Sabah, Cawangan Tambunan.
Lokasi seterusnya adalah di Daerah Membakut.yang dijangka akan bermula pada bulan Disember ini.
KSTI diperuntukkan sebanyak RM196.00 juta dalam Belanjawan 2025.
Dr. Mohd Arifin berkata, jumlah ini merupakan satu peningkatan sejumlah RM55 juta (Pembangunan) dan telah dipohon atas dasar rangkaan bukan sahaja melestarikan dan menambah baik program dan inisiatif sedia ada malah beberapa program baru pro-aktif atas kepekaan keperluan semasa dan baru sekaligus menyahut keperluan semasa semua lapisan masyarakat dari seumumnya kauliti pendidikan termasuk industri dalam menyambut kedatangan IR. 4.0.
Beliau berkata, jumlah peruntukan ini mengikut kesesuaian strategi berfasa mencerminkan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) dan kini portfolio tugasan baru diwartakan pada Julai, 2024 iaitu pendidikan dan pengajian tinggi maka STI kini merangkumi agenda pembangunan STEIM, iaitu Sains, Teknologi, Engineering, Inovasi dan Matematik.
“Selain itu, pemerkasaan modal insan dalam program pemerkasaan TVET sebagai pemangkin penting memacu pembangunan sosioekonomi di dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), menyambut kedatangan IR. 4.0 dan juga Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) tunggak dalam perancangan.”
































