Keadaan 13 rakyat Malaysia termasuk tiga kanak-kanak yang terkandas di Labuan Bajo, Indonesia selepas penerbangan mereka dibatalkan akibat letusan gunung berapi. – Ihsan Dzul Fiqri Zainun
PETALING JAYA: Percutian 13 rakyat Malaysia termasuk tiga kanak-kanak ke pusat peranginan terkenal di Labuan Bajo, Indonesia bertukar mimpi ngeri apabila terkandas empat hari selepas Gunung Lewotobi Laki-Laki di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur kembali meletus.
Lebih memenatkan, mereka terpaksa mengharungi perjalanan selama 30 jam dengan menaiki feri dari Pelabuhan Pelindo, Labuan Bajo menuju ke Surabaya yang terletak di Kepulauan Jawa.
Menurut Utusan Malaysia, seorang daripada mereka, Dzul Fiqri Zainun, 36, berkata, dia dan isteri serta dua anaknya berusia tujuh dan tiga tahun sedang bercuti bersama sembilan lagi sahabat dan keluarga ke pusat peranginan tersebut bermula 5 November lalu.
Katanya, mereka dijadualkan pulang ke tanah air pada 9 November namun penerbangannya ditunda selepas dimaklumkan terdapat gunung berapi di Nusa Tenggara Timur meletus.
“Pada mulanya kami dimaklumkan penerbangan beroperasi pada hari seterusnya, namun semalam (kelmarin) pihak lapangan terbang menutup operasinya sementara waktu sehingga keadaan kembali normal.
“Kami memutuskan mengambil feri menuju ke Lombok namun dimaklumkan lapangan terbang di Lombok dan Bali turut menutup operasi sementara waktu.
“Jadi kami terpaksa menaiki feri menuju ke Surabaya seterusnya menaiki penerbangan di lapangan terbang berhampiran untuk pulang ke tanah air,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dzul Fiqri dijadualkan tiba di Surabaya pukul 4 petang semalam.
Gunung Lewotobi Laki-Laki di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur kembali meletus sejak petang kelmarin mengakibatkan suasana panik dalam kalangan penduduk sehingga menyaksikan perpindahan besar.
Terkini, ratusan penduduk di tiga kampung di Talibura, wilayah Sikka dipindahkan ke pusat perpindahan sejak Selasa malam.
Pegawai Perhubungan Awam Polis Sikka, Yermi Soludale berkata, proses perpindahan masih berjalan hingga pagi semalam.
Agensi Pengurusan Bencana Flores Timur merekodkan seramai 13,116 orang dipindahkan pada Selasa.


























