PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diunjurkan berpotensi memberikan pulangan dividen lebih baik antara 5.5 peratus hingga 6.0 peratus bagi 2024 berdasarkan prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan.
Menurut Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, berdasarkan prestasi keadaan semasa ekonomi negara sudah pasti dividen KWSP dijangka akan meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, jika dilihat sejak dahulu, keadaan ekonomi kekal menjadi faktor utama terhadap peningkatan dividen KWSP kerana jika pendapatan bertambah maka pulangannya juga akan lebih besar.
“Berdasarkan keadaan ekonomi semasa, di Malaysia dan luar negara, kebanyakan negara menunjukkan prestasi memberangsangkan walaupun ada beberapa siri peperangan.
“KWSP mempunyai panel pelaburan profesional yang boleh membantu mereka mendapatkan pendapatan keuntungan yang besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan berjumlah RM57.6 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024.
Jumlah itu meningkat 20 peratus berbanding RM47.9 bilion dalam tempoh sama tahun lalu disebabkan prestasi kukuh kepada strategi pelaburan merangkumi portfolio pelbagai merentasi kelas aset utama.
Selain itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jangkaan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang diunjur meningkat turut memainkan faktor utama peningkatan dividen yang bakal diberi kepada pencarum KWSP.
“Prestasi pelaburan keseluruhan 2024 dilihat akan lebih baik daripada 2023 atas faktor pertumbuhan ekonomi yang kekal positif dan peningkatan prestasi Bursa Malaysia.
“Malah, setakat ini bursa mencatatkan penjanaan positif dengan peningkatan mata melebihi 10 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dijangka akan memberi kesan kepada KWSP melalui pasaran global kerana beberapa dasar yang dilakukannya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentimen pasaran telah menjadi negatif disebabkan dasar Trump yang menyebabkan kadar inflasi naik.
“Namun, langkah pengurangan cukai korporat dan pendapatan individu dilihat positif dalam pasaran ekuiti AS disebabkan oleh jangkaan kesan positif ke atas pertumbuhan ekonomi dan keuntungan syarikat tersenarai di sana,” katanya.

































