SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) akan menawarkan vaksin terkini Covid-19 daripada Pfizer dan Moderna.
Menurut Utusan Malaysia, dua vaksin itu ialah JN.1 PfizerBioNTech/Comirnaty dan JN.1 Moderna/Spikevax.
Menurut MOH dalam satu kenyataan media, kedua-duanya sudah diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) serta Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada Ogos lalu.
Keputusan untuk menggunakan vaksin yang dikemas kini itu berdasarkan saranan 2024-2025 Jawatankuasa Pakar bagi Imunisasi (ECI).
“Vaksin itu memberi respons imun yang lebih kuat terhadap virus sedia ada dan juga yang baru muncul berbanding versi vaksin sebelum ini, oleh itu ia memberikan perlindungan lebih baik terhadap Covid-19.
“Profil keselamatan vaksin itu setanding dengan versi-versi sebelum ini,” jelas MOH.
Semua lokasi vaksinasi yang menawarkan vaksin PfizerBioNTech dan Moderna/Spikevax akan mula memberikan suntikan versi terkini JN.1 mulai 28 Oktober.
Bagi penduduk Singapura yang sihat, tahap teruk jangkitan virus tersebut adalah rendah memandangkan kebanyakannya sudah divaksinasi atau dijangkiti dan pulih dengan selamat.
Bagaimanapun, ECI menyarankan agar mereka yang berisiko tinggi terkena jangkitan teruk Covid-19 menerima kedua-dua suntikan awal jika belum divaksin dan mengambil dos tambahan.
Selain warga emas berusia 60 tahun ke atas, petugas kesihatan dan mereka yang tinggal atau bekerja bersama individu yang mempunyai masalah kesihatan juga digalakkan untuk mempertimbangkan menerima vaksin tersebut.


































