Hajiji dan Ahli-ahli Parlimen Sabah diberikan taklimat mengenai pindaan perlembagaan oleh Mimmi Suriati di Sri Gaya hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mempengerusikan mesyuarat pra-majlis bersama Ahli-ahli Parlimen Sabah untuk membincangkan pindaan perlembagaan mengenai undang-undang kewarganegaraan yang akan dibentang untuk bacaan kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang akan datang.
Ketua Menteri dan lapan Ahli Parlimen telah diberikan taklimat oleh Timbalan Setiausaha Bahagian, Jabatan Pendaftaran dan Bahagian Organisasi Kementerian Dalam Negeri, Mimmi Suriati Mat Khalid mengenai perkara tersebut di Sri Gaya, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen yang hadir ialah Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan (Keningau), Datuk Armizan Ali (Papar), Datuk Ir. Shahelmey Yahya (Putatan), Datuk Jonathan Yassin (Ranau), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Lo Su Fui (Tawau) dan Riduan Rubin (Tenom).
Turut hadir ialah Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh.


































