Dr. Joachim (duduk, tengah) mewakili Ketua Menteri bergambar bersama 29 penerima Anugerah Sabah Top Achievers (SATA) 2024.
KOTA KINABALU: Sabah telah membuktikan bahawa ekonominya berdaya tahan, menunjukkan pertumbuhan walaupun menghadapi cabaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Kita telah berjaya dalam pelaburan di sektor-sektor utama, menarik pelaburan domestik dan asing.
“Bagi tahun 2023, Sabah mencatatkan RM11.34 bilion dalam pelaburan, menjadikannya yang ketujuh tertinggi di Malaysia dengan 13.3 peratus daripada sektor pembuatan sahaja.
“Kisah kejayaan ini menunjukkan keupayaan Sabah untuk menarik pemain global dalam pelbagai industri, daripada pembuatan berteknologi tinggi kepada produk berasaskan tenaga boleh diperbaharui, menonjolkan reputasi negeri ini sebagai destinasi pelaburan yang menarik,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Sabah Top Achievers 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, malam tadi. Ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, tumpuan Kerajaan Negeri kepada tiga tonggak asas seperti yang digariskan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang memberi fokus kepada Pertanian, Industri dan Pelancongan; Pelaburan kepada Rakyat dan Meningkatkan Konektiviti dengan Pendekatan Hijau, telah meletakkan kita di landasan yang betul untuk membangunkan Sabah dalam tempoh lima tahun dari 2021.
Dalam hal ini, beliau berkata, usahawan, pemimpin korporat dan inovator yang diberi penghormatan pada Majlis Anugerah Gala Sabah Top Achievers memainkan peranan penting dalam kejayaan ini, memacu kemajuan negeri dan memastikan Sabah terus menjadi penyumbang kuat dan penting kepada ekonomi negara.
“Pada masa hadapan, saya yakin acara pseperti Sabah Top Achievers 2024 ini akan mengangkat kedudukan Sabah, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa, dengan meraikan bakat dan kisah kejayaan dari negeri ini. Semoga kejayaan anda memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk turut menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan Sabah,” katanya.


































