JAKARTA: Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia menjelaskan alasan kebenaran diberikan kepada pegawai imigresen untuk membawa senjata api, susulan kelulusan pindaan Undang-Undang (RUU) Imigresen menjadi Akta oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Imigresen, Silmy Karim berkata, langkah ini diambil demi penguatkuasaan undang-undang, kerana terdapat kes di mana pegawai imigresen meninggal dunia ketika bertugas selepas diserang oleh warga asing.
Tambah beliau, penggunaan senjata api itu akan diperhalusi melalui peraturan menteri.
“Semasa perbincangan awal mengenai RUU, kami telah menjelaskan kepada DPR bahawa beberapa insiden tragis telah berlaku di mana pegawai imigresen terkorban ketika menjalankan tugas.
“Sewaktu melaksanakan pengawasan terhadap warga asing, mereka diserang oleh warga asing yang bersenjata, dan pegawai tersebut tidak dilengkapi dengan sebarang alat untuk mempertahankan diri kerana tiada peraturan yang membenarkannya.
“Alhamdulillah, selepas perjuangan yang besar, kita kini mempunyai peraturan imigresen baharu, payung undang-undang baharu yang disediakan untuk menjawab cabaran masa kini serta mempersiapkan kita menghadapi masa depan,” tambahnya lagi.
Silmy turut menjelaskan, pindaan terbaru dalam Undang-Undang Imigresen juga memperkenalkan ‘Jangka Waktu Penangkalan’ di mana peraturan ini membolehkan pihak berkuasa menghalang kemasukan warga asing yang bermasalah.
Sebagai contoh, warga asing yang melakukan jenayah di Indonesia boleh dihalang masuk selama 10 tahun, malah seumur hidup.
Selain itu, undang-undang ini juga menambah baik perkhidmatan dengan menyelaraskan tempoh sah visa masuk berulang (multiple entry permit) dengan tempoh sah visa tinggal sementara (ITAS) atau visa tinggal tetap (ITAP) yang dimiliki warga asing.
“Perubahan peraturan ini adalah selaras dengan Keputusan Mahkamah Konstitusi Nombor 40/PUU-IX/2011,” jelasnya.
Sebelum ini, DPR Indonesia telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Imigresen dalam mesyuarat yang diadakan pada Khamis.


































