Hajiji mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet JKM di Menara Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Sabah mengenai Taraf Kewarganegaraan (JKKSK) dan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu pemastautin tanpa dokumen pengenalan diri di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kabinet Negeri pada mesyuaratnya hari ini bersetuju dengan penubuhan JKKSK untuk meneliti, memastikan, menyelaras dan membantu dalam menyegerakan permohonan baharu dan tertunggak berkaitan isu kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan di negeri ini.
Mengumumkan ini pada mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri (JKM) di Menara Kinabalu di sini hari ini, beliau berkata, JKKSK akan diamanahkan untuk mengesyorkan pendaftaran kanak-kanak dan sesiapa di bawah 21 tahun sebagai warganegara tertakluk kepada Perkara 18 Perlembagaan Persekutuan – Peruntukan Am Pendaftaran.
“Keputusan penubuhan Jawatankuasa Khas ini berikutan kes berleluasa kanak-kanak kelahiran Sabah tanpa dokumen dan kad pengenalan menyebabkan mereka menghadapi masalah seperti pergi ke sekolah. Selalunya, ini berpunca daripada kecuaian ibu bapa mereka,” katanya.
JKKSK akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Menteri Sabah manakala Jabatan Pendaftaran Sabah dan Bahagian Pendaftaran Negara dan Organisasi, KDN akan menjadi urusetia bersama.
Hajiji berkata, sehubungan itu, semua permohonan akan disaring dan diperakukan kepada Jawatankuasa Khas oleh JKKSK – Panel Sabah, yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha KDN dan Setiausaha Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah.
Bagi Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu pemastautin tanpa dokumen pengenalan diri di Sabah, Ketua Menteri berkata, ia akan diletakkan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS), yang dipengerusikan bersama oleh Menteri KDN dan Ketua Menteri Sabah.
Pasukan Petugas Khas yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KDN dan Setiausaha Kerajaan Negeri itu bertujuan menyelesaikan masalah berterusan penduduk tanpa izin di negeri ini.


































