KOTA KINABALU: Di sebalik keindahan lembah tersembunyi di Borneo, satu tinjauan penting dijalankan di Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA), Tongod, dari 3 hingga 15 September 2024.
Tinjauan Sumber dan Hidupan Liar Kanyon Imbak ini bertujuan untuk meneroka potensi serta menawarkan perspektif baharu terhadap kekayaan sumber semula jadi dan kepelbagaian hidupan liar di kawasan tersebut.
Kanyon Imbak merupakan salah satu hutan dipterokarpa tanah pamah terakhir yang belum diteroka di Sabah.Terletak di tengah-tengah Borneo, ia berfungsi sebagai kawasan tadahan air utama bagi Sungai Kinabatangan, sungai terpanjang dan terpenting di Sabah.
Selain peranan hidrologi, Kanyon Imbak juga merupakan koridor penting untuk hidupan liar, menghubungkan Lembah Danum dan Lembangan Maliau. Hutan ini menyediakan perlindungan bagi spesies terancam seperti Gajah Pigmi Borneo, Orang utan, dan Harimau Dahan.
Tambahan pula, ia memainkan peranan yang kritikal dalam pemulihan hutan, bertindak sebagai bank gen yang menyokong pemulihan kawasan yang terdegradasi, dan memastikan kelestarian ekosistem Sabah.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, dengan tamatnya Pelan Pengurusan Strategik ICCA pada tahun 2023, adalah kritikal untuk mengumpulkan data terkini mengenai sumber dan kelimpahan hidupan liar.
“Oleh itu, tinjauan ini akan memberikan maklumat terkini tentang kepelbagaian biologi flora, fauna dan spesies haiwan dalam ICCA dan kawasan sekitarnya. Maklumat yang diperoleh akan menjadi asas penting untuk merangka pelan baharu yang menyeluruh, memastikan kesinambungan usaha pemeliharaan dan strategi pengurusan komprehensif untuk masa hadapan.”
Selain pengumpulan data untuk Pelan Pengurusan Strategik ICCA, objektif utama tinjauan ini bersasarkan pendokumentasian kepelbagaian dan pengedaran hidupan liar serta potensi ancaman seperti pemburuan haram, kebakaran hutan dan kesan penggunaan tanah di kawasan sekitar.
Di luar aspek pemeliharaan, tinjauan ini juga akan meneroka potensi pembangunan pelancongan, dan mengenal pasti topik penyelidikan untuk kajian masa hadapan.
Tinjauan ini merupakan tinjauan yang kedua, berikutan tinjauan awal yang telah dijalankan pada tahun 2012.
Gulamhaidar berkata, seramai lebih daripada 150 orang peserta, termasuk penyelidik terkemuka, pegawai-pegawai dari agensi-agensi kerajaan, dan staf sokongan menyertai tinjauan ini.
“Kami berhasrat untuk melakukan tinjauan menyeluruh bagi mencapai semua objektif kajian.”
Sebanyak tujuh buah lokasi telah dikenal pasti untuk tujuan tinjauan ini, dengan peserta ditempatkan secara komprehensif untuk memaksimumkan liputan seluas 2 km setiap lokasi.
Tinjauan ini diterajui oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah, dengan Jawatankuasa Penganjur yang terdiri daripada Kumpulan Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Taman-Taman Sabah, WWF-Malaysia, Sabah Environmental Trust serta Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Teknologi MARA.
Apabila tinjauan berakhir, satu seminar akan diadakan untuk membentangkan segala penemuan tinjauan.
“Kami berhasrat untuk menilai data yang diperoleh dengan teliti. Pendekatan kolaboratif ini akan menggabungkan pandangan dan kepakaran pelbagai pihak, demi memastikan kepentingan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat terjamin,” kata Gulamhaidar.
































