KUALA LUMPUR: “Kita sangat-sangat geram setiap kali dengar kes bunuh, rogol dan dera seperti ini tapi geram sahaja tidak cukup sebaliknya perlu ada tindakan dalam kalangan kita semua.”
Menurut Utusan Malaysia, demikian respons Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Syukri ekoran peningkatan kes-kes jenayah melibatkan wanita dan kanak-kanak sejak akhir-akhir ini.
Menurut beliau, pihak berkuasa termasuk kerajaan perlu melakukan program kesedaran mengenai keselamatan golongan wanita perlu didedahkan kepada golongan itu seawal usia kanak-kanak bagi menangani isu-isu membabitkan wanita.
“Terdapat isu-isu jenayah yang membahayakan keselamatan menyebabkan ramai wanita berasa tertekan dan terpaksa memikul beban yang berat sehingga memberikan kesan buruk terhadap kehidupan mereka.
“Advokasi berterusan ini bukan sahaja tertumpu kepada golongan dewasa, tetapi juga kanak-kanak di peringkat sekolah.
“Ini adalah masalah yang sangat serius dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Keseluruhan komuniti, termasuk kerajaan, perlu bertindak bersama-sama untuk menangani isu ini,” kata beliau selepas Sesi Pembentangan Hasil Malaysia Care Economy Forum (MCEF 2024) sempena Sambutan Hari Wanita ke-63 di M Resort Hotel Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nancy menegaskan bahawa masalah penderaan atau pengabaian dalam kalangan wanita juga perlu diambil serius.
Beliau turut menekankan kepentingan tindakan segera diambil terhadap setiap insiden yang dilaporkan.
“Walaupun pendekatan mungkin berbeza, ia tetap tidak mencukupi. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan semua pihak, tanpa mengira umur, memahami dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Nancy berkata, kerajaan juga kena terus komited dalam memastikan industri penjagaan dan memperkasakan wanita terus terjaga melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan.
Kata beliau, usaha ini merupakan sebahagian daripada insentif keseimbangan kerja-kehidupan yang bertujuan menggalakkan lebih ramai wanita untuk memasuki dan kekal dalam tenaga kerja.
“Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk bantuan kewangan untuk penjagaan kanak-kanak, penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja, pelanjutan cuti bersalin kepada 98 hari, serta pengenalan cuti paterniti untuk sektor swasta.
“Selain itu, pengaturan kerja fleksibel seperti waktu kerja fleksibel, bekerja dari rumah dan program kembali ke kerjaya turut diperkenalkan.
“Latihan untuk penjaga juga disediakan bagi meningkatkan kemahiran penjagaan profesional,” kata beliau.


































