Nga Kor Ming
PETALING JAYA: Kerajaan akan menyediakan deposit sebanyak RM30,000 kepada golongan belia terutamanya kalangan B40 dan M40 untuk membantu mereka membeli kediaman pertama.
Itu adalah antara 33 cadangan yang akan dikemukakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Kementerian Kewangan bagi Inisiatif Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Nga Kor Ming berkata, inisiatif deposit Madani itu selaras dengan dasar kerajaan ‘Rumahku, Syurgaku’.
“Ini adalah untuk meringankan komitmen bayaran bulanan pembeli rumah pertama, terutamanya golongan belia dalam kalangan B40 dan M40, serta merealisasikan aspirasi kementerian agar setiap rakyat memiliki tempat tinggal,” katanya semalam.
Dilaporkan, 33 cadangan itu bernilai hampir RM1 bilion bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan transformasi digital dan aspirasi Malaysia Madani.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pembangunan 100 Taman Rekreasi MADANI, transformasi kolam takungan dan perjanjian jual beli kediaman secara elektronik dengan E-stamping.
Menurut Kor Ming, KPKT menyasarkan untuk membangunkan 100 buah Taman Rekreasi MADANI yang dilengkapi dengan alat sukan dan trek jogging di kawasan perumahan.
Katanya, ia supaya rakyat dapat mengurangkan tekanan dan menjadikan taman tersebut tempat beriadah sekeluarga serta mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Dalam soal projek terbengkalai, Kor Ming berkata, KPKT telah berjaya memulihkan 704 buah projek sakit atau terbengkalai dengan jumlah nilai kasar RM58.94 billion sejak Januari 2023 sekaligus membantu lebih 65,000 orang pembeli rumah memiliki kediaman yang diidamkan.
“Kami menyasarkan supaya tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang tahun 2030. KPKT akan meminda undang-undang supaya pemaju perumahan yang telah disabit kesalahan melakukan penipuan tidak akan dibenarkan keluar negara.
“Kami juga akan mewujudkan akaun escrow. Maksudnya, semua wang yang dibayar oleh pembeli akan digunakan khusus untuk projek tersebut sahaja. Kini, tanpa akaun escrow, pemaju boleh memindahkan wang dari Projek A ke Projek B sehingga Projek A menjadi projek terbengkalai. Selepas pindaan ini, perkara sedemikian tidak akan dibenarkan lagi,” kata beliau.
“Bagaimanapun, seramai 33 pemaju Malaysia telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang emas di FIABCI World Prix d’Excellence Awards yang bertaraf antarabangsa. Kita perlu memastikan dalam sektor perumahan, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Naib Presiden Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima), Datuk Syed Osman Mohamed berkata, inisiatif deposit Madani wajar direalisasikan bagi membantu orang ramai terutamanya golongan belia memiliki rumah pertama.
Katanya, usaha itu sama seperti Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) yang pernah dicadangkan untuk dikembalikan.
“Kita mengalu-alukan cadangan ini supaya kerajaan dan Kementerian Kewangan angkat perkara ini. Kena angkat dan beri ruang kepada pembeli rumah pertama sebab ramai belia lagi dapat menggunakan inisiatif ini.
“Ini mengurangkan daripada belia menyewa dan dapat memiliki rumah sendiri. Golongan belia bandar yang berkahwin pun dapat duduk bersama dalam rumah sendiri dan bukan lagi bergantung pada rumah transit atau rumah sewa,” katanya.






























