SUGA BTS
SEOUL: Pengkritik budaya, Jung Min Mae, diserang peminat BTS di media sosial gara-gara tuduhannya yang mengatakan ahli kumpulan itu, SUGA, berbohong kepada polis selepas ditangkap membawa skuter berkuasa elektrik dalam keadaan mabuk.
Menurut Utusan Malaysia, peminat, yang menggunakan akaun BlueeDenise di platform X, mendesak Min Mae agar menarik semula kenyataannya yang disifatkan sebagai satu tuduhan tidak berasas.
“Kami menuntut awak menarik balik kenyataan dan tuduhan yang kononnya SUGA berulang kali memberi penjelasan palsu padahal dia telah bercakap benar.
“Tidakkah anda malu kerana membuat tuduhan berdasarkan penipuan yang digembar gemburkan media Korea?,” tulisnya di platform X.
SUGA baru-baru ini ditahan polis selepas didapati memandu kenderaan tersebut dalam keadaan mabuk sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah jalan dekat daerah Yongsan di sini.
Min Mae mendakwa SUGA telah mengecewakan peminat BTS kerana berbohong kepada polis ketika diambil keterangan mengenai dakwaan menaiki kenderaan itu dalam keadaan mabuk.
“Kita masih menunggu keputusan siasatan polis. Bagaimanapun, dia (SUGA) tidak hanya memandu dalam keadaan mabuk, tetapi juga berbohong,” katanya.
Dalam pada itu, Min Mae juga memaklumkan peminat BTS tidak hanya menyerangkan media sosialnya, malah media sosial isterinya.
“Mereka bertindak luar batas dengan menyerang akaun Instagram isteri saya.
“Meskipun kami biasa dengan keadaan seperti ini, tapi ia masih agak menakutkan.
“Saya tidak faham mengapa SUGA mahu memandu dalam keadaan mabuk dan mencetuskan huru hara,” katanya seperti dilaporkan Allkpop.
































