Shahrin Lizar Saad bersama dengan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Terusan Baru Semporna, Budlaji Tianjji dan murid sekolah berkenaan meraikan Program Madani Jiwa Merdeka di Pulau Bum Bum, Sabah Rabu lalu.
SEMPORNA: Lima buah pulau di Pantai Timur Sabah iaitu Pulau Bum Bum, Pulau Mabul, Pulau Menampilik, Pulau Mataking dan Pulau Danawan menjadi pilihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan Program Madani Jiwa Merdeka dalam usaha mengukuhkan semangat patriotik rakyat.
Menurut Utusan Malaysia, Pegawai Staf 1 Operasi ATM, Leftenan Kolonel Shahrin Lizar Saad berkata, ia merupakan antara beberapa program yang diadakan sempena sambutan bulan kemerdekaan bagi tahun ini.
“Ia bertujuan mendekati penduduk di kawasan persempadanan maritim negara yang berada jauh dari tanah besar agar pelbagai peringkat masyarakat mendapat peluang yang sama dalam program anjuran jabatan kerajaan,” katanya pada majlis tersebut baru-baru ini.
Menurutnya, program kenegaraan Jiwa Merdeka dalam kalangan penduduk pantai Timur Sabah itu merupakan salah satu program yang amat signifikan dalam menyemarak penghayatan nilai-nilai kemerdekaan bagi rakyat yang berdaulat.
Sebanyak 20 pegawai dan anggota lain-lain pangkat ATM bersama dengan 200 orang penduduk yang terdiri daripada ketua kampung, ahli jawatan kuasa kampung, para guru, para pelajar dan penduduk tempatan terlibat dalam pelbagai acara kenegaraan yang diadakan sejak Rabu lalu dan berakhir kelmarin.
Antara aktiviti yang diadakan adalah pemasangan bendera Malaysia di sekitar kawasan tumpuan orang ramai, perumahan dan sekolah.
Selain itu, turut diadakan pelancaran program di Sekolah Terusan Baru, Pulau Bum Bum yang membabitkan beberapa acara keramaian seperti taklimat, nyanyian lagu dan tayangan filem kenegaraan, pertandingan kuiz warisan negara serta permainan tradisi tempatan.






























