NurShakira Samsul Ikram bersama salah seekor kucing peliharaannya daripada baka British Shorthair.
Siapa yang tidak jatuh hati melihat kecomelan kucing? Lebih-lebih lagi apabila si bulus itu manja dan suka dibelai.
Begitu juga dengan NurShakira Samsul Ikram, 30, yang memelihara 12 ekor kucing daripada baka British Shorthair (BSH) sejak tiga tahun lalu.
Baka berasal dari Britain ini dikenali dengan bulu padat, mata besar dan muka yang bulat menjadikan ia tarikan utama bagi pencinta haiwan.
Memiliki jangka hayat yang panjang sehingga boleh mencecah 15 tahun, BSH sangat sesuai dibela mereka yang memerlukan peneman.
PUNCA MINAT
Kecomelan dan keunikan si bulus daripada baka BSH, menambat hati Shakira untuk mempunyai lebih banyak kucing daripada spesis tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Shakira berkata, dia tertarik membela kucing BSH kerana penjagaannya yang mudah dan sifatnya yang pendiam selain jarang membuat bising kecuali ketika lapar atau ingin mengawan.
Kata Shakira, istimewanya kucing daripada baka ini terletak pada keunikan warna matanya yang mampu memikat sesiapa sahaja yang melihat.
“Pada mulanya, saya hanya bela dua ekor kucing sahaja iaitu Kenzo yang berwarna bicolour blue dan ivy (solid blue).
“Tetapi, makin lama makin banyak pula kucing dengan warna-warna unik memikat hati saya. Mempunyai kucing warna berbeza ini sememangnya satu kepuasan untuk pencinta haiwan seperti saya,” katanya.
Antara warna kucing dimiliki ialah bicolour lilac yang dinamakan sebagai Akiko manakala yang berona bicolour cinnamon ialah Nancy dan Chombie.
Namun, salah seekor kucingnya yang paling menarik perhatiannya ialah Sultan yang memiliki sepasang mata warna berbeza iaitu biru cair manakala sebelah lagi oren kemerahan.

Sultan memiliki warna mata yang berbeza iaitu biru cair dan oren kemerahan.
PENJAGAAN RAPI
Memelihara kucing memerlukan komitmen dan penjagaan khusus bagi memastikan si comel itu kekal sihat dan aktif.
Menurut Shakira, BSH lebih sesuai dibela di dalam rumah kerana spesis itu memerlukan persekitaran sejuk dan selesa.
Tambahnya, kebersihan kucing juga perlu diberi perhatian supaya bulunya sentiasa sihat dan terhindar daripada penyakit yang berisiko mengancam nyawa haiwan berkenaan.
“Kebiasaan BSH perlu tempat yang sejuk untuk berteduh. Tidak sesuai dibela diluar. Di dalam rumah lebih baik dan seeloknya dibela di ruangan dilengkapi penyaman udara.
“Saya akan sikat dan rapikan bulu kucing seminggu sekali. Mandi pula hanya perlu dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali supaya dapat mengekalkan bulu yang sihat,” jelasnya.
DIET SEIMBANG
Mengulas mengenai pemakanan pula, katanya, kucing BSH memerlukan diet seimbang kerana spesis tersebut mudah mengalami masalah obesiti.
Pemilik perlu memantau berat badan kucing dan memberikan makanan bersesuaian termasuk makanan tambahan bagi menghidarinya daripada masalah kesihatan.
“Antara makanan yang saya berikan kepada si bulus termasuk kibble, daging mentah, ayam dan ikan rebus.
“Bagi menjaga kesihatan bulu dan kulit kucing, saya menggunakan minyak kelapa dara organik sebagai suplemen tambahan. Vaksinasi mengikut jadual juga perlu untuk memastikan kesihatannya berada pada tahap terbaik,” ujarnya.

British Shorthair memerlukan diet seimbang kerana mudah mengalami obesiti.
KEKAL AKTIF

KUCING memerlukan aktiviti bagi membantunya kekal aktif, sihat dan terhindar daripada stres.
Aktiviti atau permainan adalah salah satu kaedah untuk memastikan haiwan peliharaan kekal aktif, sihat dan tidak stres.
“Kucing-kucing saya suka permainan yang menguji keupayaan. Kebiasaannya, saya menggunakan laser pointer dan cat teaser untuk bermain dengan mereka pada waktu malam. Permainan yang automatik seperti bola bergerak sendiri juga boleh digunakan.
“Sediakan juga platform seperti cat tree untuk memudahkan mereka memanjat dan melompat. Tidak lupa juga pencakar kucing untuk mereka mengasah kuku,” tambahnya.
Secara keseluruhannya, keperluan asas itu penting bagi memastikan kucing daripada baka BSH mendapat persekitaran yang selesa, selamat dan kondusif untuk kesejahteraan mereka.






























