Nizam bergambar kenangan bersama bersama dengan Ketua-ketua Pemuda, Beliawanis dan Ketua Penerangan bahagian Kuamut dan Lamag di Kota Kinabalu semalam
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang juga ADUN Apas, menyangkal dakwaan Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bahawa ramai penduduk Tawau, Kudat dan Sandakan masuk Warisan.
“Setakat ini, saya melihat ramai yang keluar dari Parti Warisan dan ingin menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
“Ini adalah kenyataan dan terbukti cawangan Gagasan Rakyat yang kita tubuhkan di kawasan DUN Apas sendiri adalah 183 cawangan dan mereka ini termasuk daripada bekas ahli dan pemimpin Parti Warisan di Bahagian Apas,
“Di DUN Apas sahaja, Gagasan Rakyat kini mempunyai lebih 10,000 ahli.
“Sambutan amat menggalakkan dan setiap hari memang ada menerima permohonan untuk menjadi ahli Gagasan Rakyat dan menubuhkan cawangan,” kata Nizam yang juga Ketua Penerangan Gagasan Rakyat kepada media selepas perjumpaan bersama dengan Ketua-ketua Pemuda, Beliawanis dan Ketua Penerangan Bahagian Kuamut dan Lamag di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Mohd. Shafie pada Jelajah Presiden Warisan Bagi Parlimen Sepanggar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai pada Ahad.
Nizam berkata, DUN Apas juga sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah dan kerusi DUN Apas adalah untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, Gagasan Rakyat Bahagian Apas akan memberi yang terbaik dan kemenangan kepada calon GRS khususnya kawasan Apas.
“Gerak kerja yang mantap dari akar umbi bersama pasukan menyaksikan sambutan terhadap Gagasan Rakyat diterima baik oleh masyarakat di kawasan DUN Apas,” katanya.


































