Tangkap layar kejadian cubaan samun sebuah kedai aiskrim daripada rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki menikam pekerja wanita premis berkenaan dekat Taman Sri Muda, di Shah Alam, Selangor, semalam.
SHAH ALAM: Seorang pekerja sebuah kedai aiskrim alami detik ngeri apabila dipercayai ditikam dengan pisau pemotong kertas sehingga tiga kali oleh penyamun yang cuba melakukan samun terhadap mangsa dekat Taman Sri Muda, di sini, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, seorang lelaki memakai pelitup muka bersenjatakan pisau masuk ke dalam kedai tempat kerja mangsa.
Menurutnya, kejadian tersebut dilaporkan kepada polis kira-kira pukul 11.40 pagi oleh abang mangsa yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.
“Lelaki itu bersenjatakan pisau pemotong kertas cuba melakukan samun keatas mangsa namun berjaya dihalang oleh mangsa sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan akibat ditikam oleh suspek.
“Mangsa ketika itu sedang bekerja seorang diri di kedai tersebut sementara menunggu pekerja-pekerja lain untuk masuk bertugas,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, tiada sebarang kerugian dialami oleh mangsa mahupun pihak syarikat mangsa.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal memaklumkan, polis kini sedang berusaha mengesan suspek selepas semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup di premis berkenaan berjaya menimbulkan wajar sebenar suspek.
“Usaha sedang giat dijalankan oleh pihak polis untuk kesan dan tangkap suspek pada kadar yang segera.
“Siasatan dijalankan di bawah seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd. Syer Aidid di talian 013-6544996,” jelasnya.
Katanya lagi, mangsa dibenarkan pulang pada pukul 1 pagi tadi selepas menerima rawatan di Hospital Shah Alam.
































