Muhammed Hasbullah Ali dalam sidang akhar di Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR : Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab menggunakan nama Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman untuk memperdaya mangsa bagi mengaut keuntungan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, pihaknya mengesan tindakan sindiket penipuan dan pengamal undang-undang yang mengambil kesempatan menawarkan bantuan dengan mengenakan bayaran.
“Baru-baru ini ada kes penipuan menggunakan nama AMLA perdaya pasangan suami isteri hingga rugi RM120,000.
“Kita kesan, sindiket ini ada mengiklankan di Facebook dengan menawarkan khidmat kononnya untuk menyelesaikan kes babit AMLA,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Muhammed Hasbullah berkata, masyarakat diingatkan untuk tidak mudah terpedaya dengan kes-kes seumpama itu.
Katanya, sekiranya masyarakat ragu atau was-was apabila dihubungi individu mendakwa sebagai pegawai AMLA, mereka boleh merujuk perkara itu kepada pihak polis untuk pengesahan.
“Saya tekankan dan orang ramai jangan mudah terpengaruh dengan pihak yang ambil kesempatan atas kesempitan.
“Kami tidak berkompromi dan tidak mahu orang ramai alami kerugian kerana terpengaruh dan terpedaya dengan modus operandi penipuan ini,” ujarnya.


































