Pemenang pingat gangsa, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik bergambar di atas podium pada upacara pingat badminton beregu lelaki Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte de la Chapelle, Isnin lalu.
PETALING JAYA: Biarpun gagal membawa pulang emas, penat lelah kem badminton negara, Lee Zii Jia bersama Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terbalas apabila menerima habuan kenderaan utiliti sukan (SUV) susulan meraih gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, atlet berkenaan bakal menerima ganjaran terbabit selepas Chery Malaysia mengumumkan ketiga-tiga pemain badminton itu akan membawa pulang SUV Chery Tiggo 7 Pro sebagai salah satu habuan kerana menang gangsa di temasya berprestij itu.
Chery Malaysia masih belum memberi tarikh serahan, namun masih meneruskan tawaran kepada mana-mana atlet yang bakal memenangi emas pertama negara akan membawa pulang Tiggo 8 Pro.
Zii Jia meraih pingat gangsa selepas menewaskan wakil India , Lakshya Sen 13-21, 21-16 dan 21-11, malam semalam.
Sebelum itu Aaron-Wooi Yik membuka album pingat kontinjen Malaysia di Paris selepas menewaskan gandingan Denmark, Anders Skaarup Rasmussen dan Kim Astrup 16-21,22-20, 21-19.
Misi pemburuan emas pertama negara diteruskan dengan kem berbasikal trek negara yang diterajui oleh Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Turut mencabar pingat emas, kem terjun negara Nur Dhabitah Sabri menerusi acara 3 meter (m) papan anjal wanita esok manakala Bertrand Rhodict Lises beraksi dalam 10m platform lelaki, Jumaat ini.
Badang lelaki negara, Mohammad Aniq Kasdan akan membuka tirai saingan angkat berat kategori 61 kilogram (kg) pada keesokan hari.
































