Anggota bomba melakukan kerja menyelamat mangsa yang dihempap pokok hutan Sungai Kechau berdekatan Kampung Petola di Lipis, Pahang.
LIPIS: Seorang pemancing ikan liar meninggal dunia manakala rakannya cedera dihempap pokok ketika melakukan aktiviti memancing di Sungai Kechau berdekatan Kampung Petola di sini.
Difahamkan, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lipis.
Menurut Utusan Malaysia, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, Balai Bomba Kuala Lipis menerima panggilan kejadian itu pukul 8.47 pagi hari ini.
“Seramai 11 orang anggota dan tiga buah kenderaan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian dalam jarak kira-kira 28 kilometer dan tiba pada pukul 9.25 pagi.
“Komander Operasi, Ariffa Mamat mengesahkan kejadian tersebut melibatkan dua orang lelaki dewasa cedera, manakala lima lagi terselamat,” katanya di BBP Kuala Lipis hari ini.
Menurut Zulfadli, anggota bomba terus melakukan penugasan menyelamat dengan mengambil mangsa yang cedera menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda serta bantuan orang awam bersama dua pegawai perubatan.
“Mangsa diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan dan seterusnya dibawa keluar dari tempat kejadian lalu dikejarkan ke Hospital Lipis untuk rawatan,” katanya.


































