Gulamhaidar Khan Bahadar
KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah terus memperkukuh pembangunan pendidikan di Sabah menerusi penganugerahan Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang pengiktirafan tertinggi dalam bidang pendidikan di negeri ini.
Tahun ini, seramai 40 pelajar cemerlang akan dihargai dengan anugerah berprestij ini.
Anugerah ABCNS siri ke-35 tersebut akan disampaikan oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada 6 Ogos 2024.
Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, ABCNS lebih daripada sekadar pengiktirafan, ia melambangkan komitmen padu Kerajaan Negeri, melalui Kumpulan Yayasan Sabah, untuk memupuk pendidikan berkualiti, memperkasakan generasi muda dan mengasah bakat pelajar cemerlang Sabah.
ABCNS juga merupakan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah dalam memberikan dorongan serta motivasi kepada pelajar cemerlang agar konsisten mencapai keputusan yang baik dalam semua bidang, tambahnya.
“Kami mengakui bahawa generasi akan datang mewakili aset terbesar negara. Oleh itu, untuk mengekalkan kemajuan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini, kita mesti menyalurkan usaha kita ke arah melengkapkan kumpulan ini dengan pengetahuan dan kemahiran penting untuk mewujudkan generasi masa depan yang seimbang,” ujar beliau.
Pada ketika ini ramai penerima ABCNS telah menamatkan pengajian mereka, manakala ramai lagi yang masih mengejar matlamat akademik mereka.
“Kepada semua penerima anugerah, semoga kecemerlangan anda terus bersinar. Semoga pencapaian ini membangkitkan rasa rendah diri dan bukannya sekadar berpuas hati. Walaupun kita telah meraikan kejayaan, adalah penting untuk diingat kejayaan lampau tidak menjamin kejayaan masa hadapan. Kekalkan ketekunan dan sentiasa proaktif demi kejayaan berterusan,” kata Ghulamhaidar dalam kenyataan hari ini.
Sejak penubuhannya hampir enam dekad lalu, Kumpulan Yayasan Sabah merealisasikan misinya dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia di Sabah. Sejak itu, Kumpulan Yayasan Sabah telah bergerak ke hadapan dan kekal teguh, menokok tambah pelbagai usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam membangunkan negeri ini, khususnya dalam aspek pendidikan.
Pada majlis yang sama, Ketua Menteri juga akan menyampaikan kepada 40 orang penerima Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) dan lapan penerima Anugerah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).


































