Lee Zii Jia ketika menentang Anders Antonsen dari Denmark dalam perlawanan suku akhir badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte de la Chapelle.
PETALING JAYA: Selepas berjaya melepasi halangan suku akhir bertemu wakil Denmark, Anders Antonsen, Lee Zii Jia kini mahu merealisasikan impian untuk menempah tiket ke final Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, anak jati Kedah itu yang menjadi harapan terakhir negara dalam sukan badminton untuk meraih emas mengakui tidak memandang mudah kepada lawannya dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn di separuh akhir.
Beliau berkata, Kunlavut berada dalam tahap prestasi terbaik ketika ini selepas menyingkirkan pemain No.1 dunia dari China, Shi Yu Qi dalam permainan straight set 21-12, 21-10, semalam.
“Rekod pertemuan saya dengan Kunlavut tidak berapa baik. Lagipun dia merupakan juara dunia tahun lalu. Saya perlu buat persiapan terbaik menentangnya.
“Menewaskan Yu Qi yang berstatus pilihan utama sudah tentu dia berada dalam tahap terbaik. Keyakinan dalam dirinya juga tinggi,” katanya.
Di atas kertas, Zii Jia dan Kunvalut terikat 4-4 dalam kesemua rekod pertemuan sebelum ini dengan pemain Thailand itu mengatasinya ketika pada suku akhir Terbuka Indonesia, Jun lalu.
Sementara itu, pemain berusia 26 tahun itu mengakui terkejut melihat dirinya bermain dengan amat tenang menentang Antonsen yang juga merupakan rakan baiknya di luar gelanggang.
“Saya gembira dengan prestasi saya mara ke separuh akhir. Saya terkejut dapat beraksi dengan tenang pada perlawanan itu.
“Saya merasakan Antonsen ada keinginan tinggi untuk menang namun ianya tidak menjadi sebab beliau buat kesilapan mudah,” ujarnya.


































