Suspek kes penculikan Albertine Leo Jia Hui ditahan semula kerana memiliki bahan lucah termasuk melibatkan kanak-kanak di kediamannya di Kulai.
JOHOR BAHRU: Suspek lelaki yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan kes penculikan Albertine Leo Jia Hui, 6, ditahan semula hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, penahanan semula itu bagi membantu siasatan lanjut susulan penemuan pelbagai mainan seks termasuk bahan pornografi melibatkan kanak-kanak.
Menurutnya, semua bahan itu ditemukan pihaknya ketika siasatan dilaksanakan di kediaman suspek di Kulai.
“Bagi kesalahan tersebut, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana memiliki bahan penganiayaan seksual melibatkan kanak-kanak.
“Suspek juga akan disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, suspek berusia 31 tahun itu ditahan reman selama enam dan tujuh hari selepas ditangkap polis di sebuah hotel bajet di Batang Kali bersama-sama dengan Jia Hui pada 23 Julai lalu.
Sebelum ditahan semula hari ini, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis kerana tamat tempoh tahanan reman.
Jia Hui dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya ketika berada di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini pada 20 Julai lalu semasa Festival Bon Odori.


































