Hajiji bersama kesemua 87 penerima Anugerah Kecemerlangan Jabatan Tanah dan Ukur (APC).
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) dipergiatkan dan isu pengukuran hak milik tanah anak negeri yang melibatkan rakyat diselesaikan segera.
“Program PANTAS yang telah dilaksanakan sejak 2011 akan diteruskan memandangkan kepentingannya,” katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan (APC) Jabatan Tanah dan Ukur di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji menggesa Jabatan Tanah dan Ukur Negeri supaya peka dan sentiasa mengikuti perubahan keperluan pekerjaan mereka dan melaksanakannya dengan cekap.
“Jabatan Tanah dan Ukur dalam hal ini hendaklah menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang terbaik melalui Penolong Pemungut Hasil Tanah dan Pejabat Juruukur Daerah atau Pejabat Penolong Juruukur Daerah supaya orang ramai dapat menjalankan perniagaan berkaitan tanah di daerah masing-masing,” katanya.

Hajiji diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Pengarah Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew menjalankan gimik pra pelancaran sistem Smart Geo Sabah.
Harapan yang tinggi terhadap perkhidmatan awam yang lebih baik, termasuk Jabatan Tanah dan Ukur bermakna penyedia perkhidmatan sedemikian mesti menyesuaikan diri dengan perubahan untuk kekal relevan dalam memenuhi harapan rakyat, kata Hajiji.
Ketua Menteri juga menasihatkan kakitangan perkhidmatan awam supaya berpegang pada tahap integriti yang tinggi.
“Untuk mengukuhkan lagi budaya kerja, lebih banyak program latihan, kemahiran dan pengetahuan
serta penambahbaikan mesti dilakukan,” katanya.
Mengucapkan tahniah kepada Jabatan Tanah dan Ukur atas pencapaiannya dalam membangunkan sistem Smart Geo Sabah, Hajiji berkata, jabatan itu telah menetapkan penanda aras bagi transformasi digital berdasarkan tiga konsep – perkhidmatan awam yang inovatif, perkhidmatan awam dengan kapasiti mencukupi serta penciptaan budaya dan perkhidmatan awam yang mengoptimumkan analisis data.




























