PETALING JAYA: Taburan hujan rendah dijangka berterusan bermula fasa peralihan monsun yang menyebabkan Malaysia berdepan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, situasi itu berlaku berikutan negara berada dalam fenomena Monsun Barat Daya sejak 17 Mei lalu.
Menurut beliau, fenomena Monsun Barat Daya dijangka berterusan hingga September dan dalam tempoh sama, kebanyakan kawasan akan mengalami cuaca kering berikutan kekurangan penumpuan udara lembap dalam menghasilkan hujan.
“Kemunculan dua ribut siklon tropika di utara Laut China Selatan iaitu Taufan Gaemi dan Ribut Tropika Prapiroon sejak beberapa hari lalu turut mengakibatkan cuaca di rantau negara menjadi lebih kering berbanding kebiasaannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Bagaimanapun, Muhammad Helmi berkata, hujan sekejap-sekejap dijangka masih boleh berlaku sepanjang tempoh Monsun Barat Daya sehingga bermula fasa peralihan monsun.
Kata beliau, negara berkemungkinan akan menghadapi gelombang haba ekstrim Tahap Tiga dengan suhu maksimum 35 sehingga 37 darjah Celsius dalam tempoh tiga hari berturut-turut.
“Tahap gelombang haba ekstrim, lazimnya berlaku ketika penghujung Monsun Timur Laut dan fasa peralihan monsun pada Februari hingga Mei. Setakat ini, tiada kawasan yang diramalkan terkesan dan memasuki Tahap Tiga gelombang haba ekstrim.
“Kriteria status cuaca panas tahap dua turut dinamakan sebagai berdepan ‘Gelombang Haba’ merupakan suhu maksimum 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut,” jelasnya.


































