Dr. Asits Sanna
KOTA KINABALU: Kes kematian akibat keracunan makanan melibatkan seorang murid tahun empat di Sandakan dipercayai berpunca daripada makan makanan yang dibeli oleh bapanya.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Asits Sanna berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak berusia 10 tahun itu mempunyai sejarah makan makanan yang dibeli oleh bapanya pada 23 Julai lalu.
Beliau berkata, kanak-kanak tersebut mengalami gejala cirit-birit, demam dan hilang selera makan dan pada 24 Julai sebelum mengalami sawan dan dibawa oleh ahli keluarga ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Rawatan kecemasan seterusnya diberikan kerana dia didapati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan. Kanak-kanak ini telah dimasukkan ke Wad Perubatan Pediatrik sebelum disahkan meninggal dunia.
“Maklumat awal yang diperolehi menyatakan bahawa ibu kanak-kanak tersebut juga ada memakan makanan tersebut dan mengalami gejala yang sama dan diberikan rawatan di Wad Perubatan Perempuan Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.
“Namun, sejarah lengkap pergerakan serta pendedahan kes kepada makanan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Asits, sampel makanan dan persekitaran diambil bagi tujuan menentukan punca kejadian.
Pada Jumaat lalu, Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin mengesahkan pihaknya menerima laporan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rimba, Sandakan meninggal dunia akibat keracunan makanan pada 25 Julai.


































