PENAMPANG: Seramai 30 usahawan daripada pelbagai bidang telah menyertai Program Pemerkasaan Belia anjuran Pejabat ADUN Kapayan dengan kerjasama INSKEN dan TEKUN di D’Arc Hotel, Donggongon, di sini, hari ini.
ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang yang merasmikan program tersebut berkata,
pejabatnya mengambil inisiatif ini untuk memperkasa kemahiran ramai para peniaga terutama mereka yang tiada masa untuk melakukannya.
“Ia adalah untuk membantu usahawan kerana kemahiran yang sedia ada dalam bidang perniagaan memang banyak tetapi untuk memperkasa kemahiran, ramai para peniaga tiada masa untuk melakukannya.
“Peningkatan jumlah usahawan pada masa kini menjadi salah satu punca mengapa ramai usahawan kecil terpaksa menutup perniagaan mereka.
“Namun bagi saya, yang penting adalah perancangan dan ilmu yang cukup adalah salah satu kunci perniagaan bertahan dan maju” katanya.
Beliau berkata, banyak sudah usaha Kerajaan untuk membantu usahawan-usahawan tetapi ramai yang tidak tahu atau tidak berminat untuk memohon perkhidmatan yang sedia ada seperti program latihan, program bimbingan dan banyak lagi yang disediakan oleh pihak Kerajaan.
“Banyak juga sokongan kewangan yang disediakan untuk usahawan terutama dalam program atau perkhidmatan daripada TEKUN Nasional. Saya sangat berharap usahawan di luar sana akan mengambil masa untuk belajar dan mengambil peluang perkhidmatan yang sedia ada.
“Ada juga usahawan kecil yang berjumpa saya berkenaan masalah kewangan.
“Dengan program ini, saya harap dapat membantu kerana ilmu dan pengetahuan adalah kunci untuk kita terus berjaya.
“Program hari telah memilih lima usahawan yang cemerlang dengan idea perniagaan mereka dan berjaya mendapat Tab X9 untuk setiap ahli kumpulan.”






























