PETALING JAYA: Polis menyiasat kejadian kebakaran di sebuah pangsapuri di Taman Lembah Maju, Ampang dekat sini sehingga mengakibatkan seorang wanita ditemukan rentung.
Dalam kejadian pukul 9.44 malam tadi, seorang wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lelaki cedera di kaki, tangan serta muka.
Difahamkan si mati dan lelaki yang cedera itu pasangan kekasih. Semasa kebakaran didakwa lelaki itu baru pulang dari tempat kerja dan cuba menyelamatkan mangsa namun gagal menyebabkan dirinya turut melecur.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis turut membuka siasatan kemungkinan mangsa melakukan khianat sehingga turut meragut nyawanya.
Menurut beliau, terdahulu polis menerima panggilan pada pukul 9.44 malam yang memaklumkan berlaku kebakaran di tingkat bawah di kawasan Taman Lembah Maju dekat sini.
“Pusat kawalan Ampang Jaya arahkan anggota unit peronda polis (MPV) bertugas ke lokasi untuk tindakan awal manakala pihak bomba dari Balai Bomba Pandan (BBP) Indah dan BBP Ampang hadir ke tempat kejadian berjaya memadamkan kebakaran.
“Mangsa wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lelaki mengalami kecederaan di kaki, tangan serta muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan lanjut.
Media semalam melaporkan seorang wanita rentung manakala seorang lelaki melecur dalam kebakaran di sebuah unit pangsapuri di Taman Lembah Maju di sini, malam tadi.






























