JELEBU: Industri perikanan negara mencatatkan pengeluaran sebanyak 1.3 juta tan metrik sehingga bulan Julai ini serta dijangka akan terus meningkat dan mengatasi jumlah pengeluaran pada tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, jumlah pengeluaran tahun lalu yang mencatatkan sekitar 1.79 juta tan metrik dengan nilai keseluruhan mencecah sebanyak RM16.4 bilion.
“Sebanyak 400,000 tan lagi kita akan capai tahap pengeluaran (melepasi tahun lalu). Pembangunan akuakultur dilihat amat berpotensi untuk dimajukan secara komersial bagi menjamin bekalan ikan dalam negara selain ikan sumber laut.
“Kita juga akan meningkatkan kadar pengeluaran benih dari segi kadar tumbesarannya seperti udang galah ada sistem tertentu digunakan dan sebagainya,” katanya Ketika ditemui pemberita pada Karnival Usahawan MyAgropreneur Perikanan (MYAP) dan MyKomuniti Perikanan (MYKP) Zon Selatan 2024 di Dataran Kuala Klawang, di sini, kelmarin.
Yang turut hadir Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri,Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Kata beliau, jumlah pengeluaran perikanan negara meliputi subsektor perikanan tangkapan, subsektor akuakultur dan subsektor perikanan darat.
“Di Negeri Sembilan akuakultur merupakan penyumbang terbesar pengeluaran perikanan negeri. Ia meliputi 90.78 peratus atau 5,587.4 tan metrik pengeluaran ikan secara keseluruhan,” katanya.
Dalam perkembangan, Wan Muhammad Aznan berkata, larangan pengeluaran hasil kupang dan kerang-kerangan di Port Dickson masih lagi dikuatkuasakan susulan pengesanan pencemaran biotoksin berbahaya pada kupang di kawasan Pasir Panjang pada April lalu.
“Makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur masih mengesan biotoksin melebihi kadar had pengambilan yang selamat. Setakat ini, kita sudah ambil 16 kali sampel untuk ujian ini.
“Kita ada prosedur operasi standard (SOP) yang memperuntukkan tempoh selama dua bulan sebagai tempoh bertenang bagi memastikan kerangan ini benar-benar selamat dimakan,” katanya.
































