PETALING JAYA: Semua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan internet yang mempunyai lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menurut Utusan Malaysia, syarat tersebut dilaksanakan menerusi satu kerangka kawal selia baharu demi penggunaan internet yang selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
Pelaksanaan tersebut akan diperkenal pada 1 Ogos ini sebelum dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, perkara tersebut selaras dengan keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosia (social media services) dan perkhidmatan pesanan Internet (Internet messaging services) mesti mematuhi undang-undang di negara ini.
Kata MCMC, inisiatif tersebut adalah untuk memerangi peningkatan kes-kes jenayah siber seperti penipuan dalam talian, buli siber dan perbuatan seksual terhadap kanak-kanak.
“Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.
“Sebelum ini, platform-platform tersebut dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam kerajaan mengumumkan semua platform media sosial harus mematuhi undang-undang egara ini terutama dalam menurunkan segera kandungan yang boleh memudaratkan pengguna.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat
Mengulas lanjut, kata MCMC, langkah tersebut diharap akan mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat serta pengalaman yang lebih baik untuk para pengguna terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.
“Kerangka kawal selia baharu tersebut hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan tetapi tidak memberi apa-apa perubahan kepada pengguna,” katanya.






























