Delegasi atlet Korea Selatan semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.
PARIS: Korea Selatan meluahkan rasa kesal kerana delegasi atletnya diperkenalkan sebagai Korea Utara semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, ketika bot yang membawa atlet Korea Selatan melintasi Sungai Seine, penyiar memperkenalkan mereka sebagai ‘Republik Rakyat Demokratik Korea’ – nama rasmi Korea Utara – dalam bahasa Perancis dan Inggeris.
Penyiar turut menggunakan pengenalan yang sama pada delegasi atlet Korea Utara.
Timbalan Menteri Sukan dan Budaya Korea Selatan, Jang Mi-ran meminta mengadakan pertemuan dengan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach.
“Kami melahirkan rasa kesal kerana atlet negara diperkenalkan sebagai Korea Utara pada majlis perasmian Sukan Olimpik Paris,” katanya.
Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Korea Selatan segera merujuk insiden itu kepada penganjur sukan dan menuntut jaminan supaya kesilapan sama tidak berulang.
Delegasi Korea Selatan terdiri daripada 143 atlet yang bertanding dalam 21 acara, manakala Korea Utara yang kembali ke Sukan Olimpik selepas kali terakhir menyertai pada Rio 2016, menghantar 16 atlet.
































