Kontinjen negara yang akan menyertai Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang di Istana Negara baru-baru ini. – Ihsan MOM
PETALING JAYA: Ganjaran untuk atlet yang menyumbang emas pertama negara di pentas Olimpik terus meningkat dengan nilai keseluruhan ketika ini mencecah RM6 juta.
Situasi itu menyaksikan atlet yang berjaya meraih emas pertama akan menjadi ‘jutawan segera’ dan status itu pastinya berbaloi dengan pengorbanan mengharumkan nama negara.
Sumbangan besar yang datang daripada sektor swasta itu turut mendapat perhatian Menteri belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang percaya ia akan membakar semangat atlet.
“Terima kasih kepada semua penaja di atas tajaan yang diberikan dan kepercayaan bahawa atlet Malaysia mampu untuk membawa pulang emas pertama buat negara.
“Saya yakin semua atlet akan berusaha memberikan yang terbaik di bumi Paris nanti,” kata Hannah dalam satu kenyataan, semalam.
Sementara itu, ketua kontinjen Malaysia ke Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin turut teruja dengan kehadiran penaja yang disifatkan mampu memberi semangat buat kontinjen negara.
“Kami sangat teruja kerana ramai badan korporat tampil memberikan sokongan mereka kepada kontinjen negara. Semua insentif ini berperanan sebagai pendorong yang kuat.
Kita berharap atlet negara akan memberikan persembahan yang memberikan inspirasi untuk memenangi pingat emas pertama negara,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Berikut merupakan senarai ganjaran untuk pemenang emas Olimpik.
1. Skim Hadiah kemenangan Sukan (SHAKAM)
*Pemenang emas Sukan Olimpik alan menerima RM1 juta, perak (RM300,000), gangsa (RM100,000).
2. RedONE Mobile (RedONE)
*Wang tunai RM1 juta dan akan dibayar secara ansuran bulanan dalam tempoh 10 tahun untuk sokongan jangka panjang atlet.
3. Top Residency
* Sebuah pangsapuri mewah bernilai RM1 juta
4. Senheng
*Wang tunai RM1 juta terhad kepada tiga pemain iaitu Aaron Chia, Soh Woi Yik dan Chen Tang Jie yang pernah berada dalam Program Bakat Badminton SS pada 2012 hingga 2016.
5. Cherry Malaysia
*Kenderaan uliti sukan (SUV) tinggo 8 Pro bagi atlet emas, perak.
6. Yinson Holdings Berhad
*Wang tunai RM1 juta, sekiranya lebih daripada seorang atlet memenangi pingat emas pertama, wang akan dibahagikan sama rata diantara pemenang pingat emas pertama tersebut.
7. Matrix Concepts Holdings Berhad
*Wang tunai RM500,000, sekiranya lebih daripada seorang atlet memenangi pingat emas pertama, wang akan dibahagikan sama rata diantara pemenang pingat emas pertama tersebut.
8. MJ Health Screening Centre
*Wang tunai RM500,000, sekiranya lebih daripada seorang atlet memenangi pingat emas pertama, wang akan dibahagikan sama rata diantara pemenang pingat emas pertama tersebut.
































