Pasangan kekasih itu ditahan selepas dikejar enam buah kenderaan peronda polis (MPV) Rabu lalu.
JOHOR BAHRU: Pasangan kekasih khayal disyaki di bawah pengaruh dadah ditahan selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Taman Impian Emas, di sini, Rabu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, turut berada dalam kenderaan itu adalah seorang kanak-kanak yang juga anak kepada suspek wanita.
Menurut beliau, suspek lelaki berusia 27, manakala suspek wanita pula berusia 20 tahun.
“Dakwaan yang mengatakan pasangan itu menculik kanak-kanak tersebut tidak benar kerana kanak-kanak berkenaan adalah anak kepada suspek wanita.
“Pasangan kekasih itu ditahan selepas dikejar enam buah kenderaan peronda polis (MPV) ketika mereka cuba melarikan diri daripada pemeriksaan pada pukul 11.20 malam, Rabu lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Balveer Singh, ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
































