PETALING JAYA: Inflasi Malaysia kekal 2.0 peratus pada Jun 2024 dengan mata indeks mencatatkan peningkatan kepada 133.0 berbanding 130.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Peningkatan inflasi tersebut didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan (3.3 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.8 peratus) dan makanan dan minuman (2.0 peratus).
Sementara itu, pakaian dan kasut serta insurans dan perkhidmatan kewangan masing-masing menurun kepada negatif 0.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi restoran dan perkhidmatan penginapan meningkat kepada 3.3 peratus, disebabkan peningkatan subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.2 peratus.
Katanya, inflasi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya pada 3.2 peratus.
“Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh subkumpulan Bekalan air & pelbagai perkhidmatan berkaitan rumah kediaman, 32.1 peratus (Mei 2024: 32.1%).
“Inflasi bagi penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan meningkat 2.8 peratus pada Jun 2024 berbanding 3.0 peratus pada Mei 2024.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh kelas perbelanjaan barang kemas dan jam tangan kepada 15.3 peratus (Mei 2024: 16.5 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan peningkatan 2.0 peratus pada Jun 2024 (Mei 2024: 1.8 peratus).
Menurutnya, subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.9 peratus pada Jun 2024 berbanding 0.5 peratus pada bulan sebelumnya.
“Kelas perbelanjaan sayur-sayuran merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 6.2 peratus (Mei 2024: 4.8 peratus). Antara sayur-sayuran yang mencatatkan kenaikan dua digit adalah kacang panjang, lada benggala dan timun.
“Inflasi bagi kelas perbelanjaan daging meningkat kepada 0.2 peratus pada Jun 2024. Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar merangkumi 32.6 peratus dalam kelas perbelanjaan daging kembali ke jajaran positif iaitu 1.1 peratus (Mei 2024: -0.8 peratus),” ujarnya.
Berdasarkan pengumpulan data oleh pihak DOSM, purata harga ayam standard di Malaysia pada Jun 2024 adalah RM10.58 sekilogram berbanding RM10.54 sekilogram pada bulan Jun 2023 (Mei 2024: RM10.42).
Dalam pada itu, purata harga ayam standard bagi Semenanjung Malaysia pada Jun 2024 adalah RM9.92 sekilogram berbanding RM9.93 sekilogram pada bulan Jun 2023 (Mei 2024: RM9.71).
Selain itu, Mohd Uzir berkata, inflasi pengangkutan meningkat 1.2 peratus pada Jun 2024 berbanding 0.9 peratus pada Mei 2024.
“Peningkatan tersebut disumbangkan oleh subkumpulan utama pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat kepada 1.7 peratus pada Jun 2024 (Mei 2024: 1.4 peratus).
“Kerajaan telah menetapkan harga runcit baharu bagi diesel iaitu RM3.35 seliter berbanding RM2.15 seliter bermula 10 Jun 2024 untuk Semenanjung Malaysia, manakala harga runcit diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” jelasnya.
Mohd Uzir Mahidin menambah, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 2.0 peratus.
“Walau bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3 peratus), Sarawak (2.7 peratus), Pahang (2.7 peratus) dan Selangor (2.4 peratus),” katanya.


































