Anggota pasukan perubatan memeriksa mayat dua penuntut Universiti Seoul, Korea Selatan yang ditemukan lemas di Air Terjun Lubuk Kain, Sungai Bangan di Hulu Dungun, hari ini.
DUNGUN: Kegembiraan dua penuntut Universiti Seoul, Korea Selatan, mandi bersama rakan-rakannya di Air Terjun Lubuk Kain Sungai Bangan, Hulu Dungun, dekat sini bertukar tragedi apabila kedua-dua mereka ditemukan lemas, tengah hari tadi.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari, Muhammad Danial Danish Kamal dan Nor Mukhriz Nor Mohamad masing-masing berusia 20 tahun dan berasal dari Kuantan, Pahang ditemukan kira-kira pukul 1.45 tengah hari.
Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa yang sedang bercuti dan lima lagi rakan mereka bertolak dari Kuantan kira-kira pukul 8 pagi dan mandi di kawasan air terjun itu kira-kira pukul 1 tengah hari.
Lima lagi rakan mereka itu pula bukan penuntut Universiti Seoul, Korea Selatan.
Salah seorang rakan mangsa, Mohd. Azim Azad, 20, berkata, dia bersama Muhammad Danish Danial dan Nor Mukhriz mandi di kawasan berbatu yang lebih tinggi, sementara empat lagi rakan mereka mandi di kawasan bawah.
“Ketika mandi, kami bertiga tiba-tiba dihanyutkan arus kuat. Kedua-dua rakan saya sempat berpaut pada tangan saya, namun mereka kemudiannya terlucut daripada genggaman saya.
“Dalam masa beberapa minit sahaja kedua-dua rakan saya tenggelam dan hilang dari pandangan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, petang ini.
Mohd. Azim berkata, dia bernasib baik kerana ada penduduk yang menyedari kejadian itu dan membaling pelampung sebelum dia berenang mencapai pelampung itu untuk menyelamatkan diri.
“Saya bersyukur terselamat, namun saya terkilan tidak dapat menyelamatkan rakan-rakan saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui pada kedalaman 10 meter, tidak jauh dari lokasi terakhir mereka dilihat.
“Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya.


































