Liew Chin Tong semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. – Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menguatkuasakan sembilan tindakan antilambakan terhadap pengeksport dari China sejak 2015 hingga 2023.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata, tindakan penguatkuasaan itu bertujuan melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan menguatkuasakan 68 tindakan terhadap antilambakan dan tiga tindakan pelindung terhadap barangan import yang dilambak atau disubsidi yang memudaratkan industri tempatan sejak 1993.
“Kerajaan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya dilindungi daripada kesan perdagangan yang tidak adil, berikutan kemasukan barangan import yang murah dalam kuantiti besar.
“Ini termasuk dari negara China ke pasaran Malaysia melalui penguatkuasaan remedi perdagangan. Antara langkah remedi diambil adalah pengenaan duti antilambakan, duti timbal balas dan duti pelindung,
“Pada masa sama, MITI dalam proses mengkaji semula Akta Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993 yang akan dibentang pada Januari 2025.
“Kerajaan sentiasa memantau kemasukan produk dari luar negara termasuk China untuk memastikan ekosistem industri yang sihat dalam negara,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Datuk Low Kian Chuan (Profesional) yang terdahulu bertanya usaha Malaysia mengatasi kesan kemasukan perniagaan China di Malaysia.
Pada 31 Januari tahun lalu, kerajaan memutuskan memulakan kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan ke atas import dagangan keluli tahan karat gulungan sejuk (CRSS) dari China, Korea Selatan, Taipei dan Thailand.
MITI berkata, kajian semula itu adalah selaras dengan subseksyen 28(6) Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504) dan peraturan 34 Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan).
Katanya, keputusan itu diambil setelah mempertimbang permohonan dan maklumat dikemukakan oleh pengeluar tempatan, Bahru Stainless Sdn. Bhd.
Syarikat itu memohon kajian semula pentadbiran terhadap duti anti-lambakan yang dikenakan terhadap import CRSS dalam bentuk gegelung, kepingan atau apa-apa bentuk lain dengan ketebalan antara 0.3 milimeter hingga 6.5 milimeter dan kelebaran tidak lebih daripada 1,600 milimeter, tidak termasuk CRSS dengan kemasan sepuh lindap berkilat, No. 8 (kemasan cermin), timbul, keras, gores atau berwarna; atau CRSS dengan nilai kekerasan melebihi 250HV yang berasal atau dieksport dari negara-negara berkenaan.
Duti antilambakan semasa yang dikenakan terhadap import dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari China, Korea Selatan, Taipei dan Thailand, berkadaran dari NIL hingga 111.16 perarus tamat tempohnya pada 7 Februari 2023.
Menurut laman sesawang MITI, lambakan berlaku apabila harga eksport produk di Malaysia adalah kurang daripada nilai normal produk yang sama atau serupa dalam pasaran domestik di negara eksport/asal.
Maknanya, lambakan ialah suatu diskriminasi harga antarabangsa yang melaluinya sebuah syarikat mengenakan harga lebih tinggi di pasaran domestik daripada di pasaran eksport.
Tujuan menubuhkan perundangan Timbal Balas dan Anti-Lambakan Malaysia untuk memberi kuasa kepada pihak berkuasa mengambil langkah-langkah remedi terhadap perdagangan tidak adil oleh pembuat/pengeksport asing dan memberi satu rangka kerja menyiasat pendakwaan kerugian disebabkan lambakan atau import yang diberi subsidi.
Hak dan obligasi antarabangsa Malaysia dalam perkara itu dikuasai oleh keanggotaannya dalam Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dan oleh Perjanjian WTO terhadap anti lambakan dan subsidi serta langkah-langkah timbal balas.
Sementara itu, Chin Tong berkata, kementeriannya tidak ada kajian khusus mengenai isu lambakan produk dari negara China ke dalam pasaran tempatan.
“MITI tidak hanya menyasarkan kepada negara tertentu sahaja.
“Tindakan antilambakan biasanya dijalankan dengan sasaran syarikat atau pengeksport dan bukannya disasar kepada syarikat atau satu-satu negara.
“Tetapi, MITI boleh bekerjasama dengan Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan persatuan-persatuan industri lain bagi menjalankan kajian khusus terhadap keadaan produk-produk dari negara China,” katanya.


































