Tangkap layar video tular mengenai murid mengalami keracunan makanan yang menerima rawatan di Kota Kinabalu, Isnin.
KOTA KINABALU: Nasi lemak dipercayai punca kejadian wabak keracunan makanan yang melibatkan 103 murid di SK Pulau Gaya, di sini, Isnin.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Asits Sanna berkata, siasatan awal mendapati bahawa kesemua kes mempunyai sejarah memakan nasi lemak sekitar jam 9.50 pagi pada 22 Julai 2024.
Walau bagaimanapun katanya, sejarah lengkap pergerakan serta pendedahan kes kepada makanan masih dalam siasatan.
“Tindakan kawalan yang telah dilaksanakan termasuk memberi rawatan yang bersesuaian, menjalankan pengesanan kes secara aktif (ACD), pendidikan kesihatan kepada individu terlibat serta pengambilan sampel makanan, minuman, dan persekitaran bagi tujuan pengesahan punca kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Asits, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah melalui Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu telah menerima notifikasi kejadian satu wabak keracunan makanan daripada klinik kesihatan dan hospital kerajaan pada 22 Julai 2024, jam 2.09 petang.
“Wabak ini melibatkan seramai 103 murid di sebuah sekolah rendah di Pulau Gaya, Kota Kinabalu.
“Kes-kes mengalami gejala muntah, cirit-birit, dan sakit perut.
“Sebanyak lapan kes telah dimasukkan ke wad, manakala 95 kes dirawat sebagai pesakit luar.
“Kesemua kes berumur di antara 6 hingga 12 tahun dan berada dalam keadaan stabil, serta tiada kematian dilaporkan,” katanya.
Dr. Asits berkata, keracunan makanan adalah penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar.
Ianya boleh disebabkan oleh bakteria atau toksin bakteria tersebut, virus, parasit, bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai, logam berat, tumbuhan yang beracun seperti cendawan dan hasilan laut seperti kerang.
Sebagai pencegahan, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah berikut:
- Sentiasa menjaga kebersihan dengan membasuh tangan dengan air dan sabun sebelum mengendalikan makanan.
- Memastikan kawasan dapur bebas dari serangga, makhluk perosak dan haiwan-haiwan yang lain.
- Gunakan peralatan yang berasingan untuk makanan mentah bagi mengelakkan pencemaran kepada makanan yang telah dimasak.
- Masak makanan dengan sempurna dan pastikan ianya dimakan dalam tempoh tidak melebihi empat jam.
- Simpan makanan sedia dimakan pada suhu yang bersesuaian di dalam peti sejuk dan tidak melebihi tempoh yang ditetapkan.
- Gunakan bahan mentah yang segar dan air yang bersih untuk memasak.
- Amalkan konsep lihat, hidu, dan rasa dan elakkan makan sekiranya makanan atau minuman telah rosak.
- Pihak sekolah dinasihatkan untuk sentiasa memantau serta menjalankan pemeriksaan ke atas makanan yang dijual atau dibekalkan di kawasan sekolah.
“JKN Sabah juga ingin menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan
rawatan sekiranya mengalami gejala keracunan makanan.
“JKN Sabah dengan kerjasama PKK Kota Kinabalu akan terus memantau situasi kejadian ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya.


































