Lelaki warga emas ditemukan selamat di kebun getah di Kampung Tambilidon, Pitas, Sabah, semalam. – Ihsan Bomba
KOTA MARUDU: Selepas dua hari dilaporkan hilang semasa keluar ke kebun, lelaki warga emas berusia 83 tahun ditemukan selamat di kebun getah di Kampung Tambilidon Pitas, dekat sini semalam.
Warga emas itu ditemukan oleh penduduk kampung pada jarak satu kilometer dari rumahnya pada pukul 7 malam.
Menurut Utusan Malaysia, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberitahu, lelaki warga emas itu dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak keluar ke kebun pada Ahad lalu dan keluarga mangsa membuat laporan mengenai kehilangannya kira-kira pukul 10.30 pagi, Isnin lepas.
PGO memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kedua semalam bermula pada pukul 9.30 pagi membabitkan tiga sektor pencarian dengan keluasan kira-kira empat hektar setiap sektor.
“Memasuki hari kedua SAR, seramai 22 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk penduduk kampung terlibat dalam mencari mangsa.
“Kami menggunakan kaedah zigzag dalam operasi yang melibatkan radius pencarian kira-kira tiga kilometer,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, operasi SAR dibantu oleh Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan, unit K9 JBPM dan penduduk kampung.
Kata beliau, pasukan bomba membuat pemeriksaan awal terhadap mangsa dan keadaan mangsa baik. Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
































