Fadhlina Sidek
SELAYANG: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan Kolej Tingkatan Enam Premium mulai tahun depan selain sedang memperhalusi cadangan pemberian elaun kepada pelajarnya.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, cadangan pemberian elaun itu adalah antara penambahbaikan yang sedang diperhalusi KPM.
“Itu antara usaha kita untuk menjaga kebajikan mereka. Ia akan diteruskan termasuk mengangkat cadangan ini ke peringkat belanjawan pada tahun ini,” kata beliau ketika berucap di Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023, di sini semalam.
Pada 9 Julai lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM sedang mempertimbangkan penyediaan elaun kos sara hidup pelajar Tingkatan Enam sebagai sebahagian usaha menarik lebih ramai pelajar menyertai program itu.
Menurut Kah Woh, turut dipertimbangkan ialah elaun untuk guru penolong kanan Tingkatan Enam dan bantuan geran per kapita lebih tinggi bagi mata pelajaran STPM.
Mengenai Kolej Tingkatan Enam Premium, Fadhlina berkata, penjenamaa semula Tingkatan Enam itu adalah bagi meneruskan kegemilangan dan menyambut hasrat kerajaan bagi melihat Sijil Tinggi Pendudukan Malaysia (STPM) terus menjadi antara arus pendidikan utama pilihan pelajar pada masa depan.
Oleh demikian, menurut beliau, pelbagai inisiatif penting sedang dilaksanakan termasuk program khusus seperti aliran Tingkatan Enam Premium.
“Hasil silang kementerian antara KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTM) adalah Kolej Tingkatan Enam Premium yang akan kita mulakan tahun hadapan yang memberikan tumpuan kepada golongan ini bagi memastikan mereka diberikan fokus dalam projek atau program khas ini.
“Ia antara lain bagi memastikan kedudukan, pencapaian dan sumbangan mereka dalam bidang lain dapat kita berikan tumpuan,” kata beliau.
Fadhlina berkata, KPM mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak dan akan sedang memperhalus cadangan itu sebelum mengumumkannya apabila semua peringkat penyelarasan selesai.
“Ia masih dalam proses penyelarasan di peringkat KPT dan kita harap program dapat dilaksanakan ambilan pertamanya tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) peperiksaan STPM 2023 meningkat kepada 2.84 berbanding 2.82 pada tahun lalu sekali gus mencatatkan rekod PNGK nasional tertinggi sejak sijil tersebut diperkenalkan.
Bagaimanapun, bilangan calon STPM 2023 yang mendapat PNGK 4.00 menurun kepada 1,116 berbanding 1,184 calon pada tahun lalu.
Menurut beliau, daripada jumlah 1,116 calon itu, seramai 803 pelajar atau 71.95 peratus adalah terdiri dalam kalangan kategori B40.
Katanya, dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya bilangan calon dan peratusan longgokan calon STPM 2023 pada PNGK 3.75 dan ke atas adalah seramai 4,153 pelajar atau 10 peratus.
“PNGK 3.00 ke atas ialah 18,621 calon (44.82 peratus), PNGK 2.75 ke atas 24,427 calon (58.79 peratus) dan PNGK 2.00 ke atas 37,428 calon ((90.08 peratus) adalah meningkat berbanding 2022,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2023 di sini semalam.
Beliau berkata, KPM memilih 17 pelajar STPM terbaik kebangsaan mengikut kategori untuk diberikan anugerah iaitu wang tunai bernilai RM1,000, plak dan sijil.
“Mereka terdiri daripada lima pelajar terbaik kebangsaan aliran sains; dua dari aliran sains Sosial; dua dari kategori Orang Asli dan lima calon berkeperluan pendidikan khas iaitu buta (dua orang), rabun (seorang), kurang dengar atau pekak (seorang) dan spastik (seorang),” katanya.
Menurutnya lagi, seramai 99.93 peratus atau 41,520 calon layak Sijil STPM 2023, manakala hanya 0.07 peratus atau 28 calon tidak layak mendapat sijil.
“Secara keseluruhannya, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2023 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus, iaitu gred C dan ke atas.
“Empat mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi 3.00 peratus dari segi prestasi Lulus Penuh berbanding dengan prestasi pada 2022, iaitu mata pelajaran Matematik, Bahasa Cina, Biologi dan Matematik.
“Tiada mata pelajaran telah menunjukkan penurunan melebihi negatif 3.00 peratus dari segi prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada 2022,” katanya.
































