RAUB: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun cedera parah diserang tiga remaja yang meminta mangsa menggantikan telefon bimbit yang dirosakkan di Taman Sempalit Aman di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Raub, Superintenden Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, remaja itu menerima rawatan selepas diserang di bahagian kepala oleh penyerang remaja berusia antara 16 hingga 17 tahun sebelum terjatuh ke dalam longkang pada pukul 10.15 pagi dalam kejadian pada 19 Julai lalu.
“Mangsa merupakan pelajar tingkatan dua itu mengenali penyerangnya dalam pergaduhan selepas ketiga mereka menuntut menggantikan telefon bimbit baharu.
“Sebelum serangan berlaku, adik mangsa secara tidak sengaja telah merosakkan telefon bimbit baharu milik salah seorang suspek beberapa minggu lalu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini kelmarin.
Menurut Mohd. Shahril, siasatan awal mendapati, kejadian itu berpunca apabila suspek tidak berpuas hati dengan mangsa selepas gagal menggantikan telefon bimbit yang rosak itu dengan telefon baharu.
Katanya, suspek tidak berpuas hati dan bertindak menyerang mangsa sebelum terjatuh ke dalam longkang berhampiran.
“Mangsa membuat laporan polis pada pukul 11.15 pagi semalam (20 Julai) dan polis berjaya menahan ketiga orang suspek yang merupakan pelajar sekolah menengah di sekitar bandar Raub,” katanya.
Ujarnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah.
































