Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berbangga dengan prestasi ekonomi negara yang meningkat pada tahap 5.8 peratus dalam suku kedua tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pemegang taruh yang terlibat secara langsung dalam usaha mengembangkan ekonomi negara ke tahap yang lebih baik.
Katanya, berita baik itu adalah selaras dengan janji kerajaan di bawah gagasan Malaysia Madani yang menjanjikan banyak perkara bermanfaat untuk rakyat dan negara.
“Dalam ekonomi madani kerajaan menjanjikan peluang pekerjaan, latihan, pemindahan teknologi, ke arah peralihan negara dan digital yang lebih baik.
“Alhamdulillah, negara memecah tembok kerunsingan dengan mencatat pertumbuhan yang menakjubkan iaitu 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini.
“Ia di luar daripada jangkaan biasa, di luar unjuran yang dikemukakan oleh semua pihak.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia, pekerja, profesional dan pelabur.
“Ini akan memberi kesempatan pada kita untuk bangkit sebagai negara gagah dan saya yakin dengan kerjasama dan tumpuan kita kepada pembangunan ekonomi kita akan berjaya,” katanya dalam hantaran video berdurasi 55 saat di media sosialnya hari ini.
Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu, kementerian akan terus berusaha meningkatkan perdagangan, menarik pelaburan serta memajukan sektor perindustrian negara.
Beliau memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bahawa ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus dalam suku kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya.
“Pertumbuhan ini adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022 (7.4 peratus),” katanya menerusi hantaran di laman X beliau.
Tengku Zafrul berkata, bagi tempoh separuh pertama 2024, KDNK meningkat sebanyak 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Katanya, anggaran pertumbuhan bagi suku kedua ini adalah sejajar dengan petunjuk terkini seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian, yang meningkat 6.1 peratus dan 2.4 peratus masing-masing pada April dan Mei 2024 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Sektor Pembuatan turut mencatat peningkatan kepada 4.7 peratus daripada 1.9 peratus pada suku lalu.
Perdagangan Malaysia berkembang secara konsisten sejak Januari 2024 dan merekodkan kenaikan 8.7 peratus tahun ke tahun pada Jun 2024 kepada RM237.81 bilion.
Eksport mencatat pertumbuhan bagi bulan ketiga berturut-turut, meningkat 1.7 peratus kepada RM126.05 bilion.
Lebihan dagangan yang berjumlah RM14.29 bilion merupakan lebihan ke-50 bulan berturut-turut yang dicatatkan sejak Mei 2020.
































