Tangkap layar video tular pergaduhan melibatkan tiga wanita yang dipercayai berlaku di kawasan parkir sebuah pasaraya di sini.
PENAMPANG: Satu insiden pergaduhan melibatkan tiga wanita dipercayai berlaku di kawasan parkir kenderaan di sebuah pasaraya di sini tular di platform media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton bagaimanapun berkata, hasil semakan mendapati tiada laporan polis diterima setakat ini.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang telah terkesan satu video berdurasi 2 minit 16 saat yang memaparkan tiga individu wanita terlibat dengan insiden pergaduhan yang dipercayai berlaku di kawasan parkir kenderaan di sebuah pasaraya di daerah Penampang yang tular di platform media sosial sejak 19hb julai 2024.
“Walau bagaimanapun, hasil semakan mendapati tiada laporan polis diterima setakat ini.
“Oleh demikian pihak polis meminta saksi-saksi di tempat kejadian atau individu yang terlibat untuk tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebarang maklumat boleh segera berhubung dengan ibu pejabat polis daerah penampang di talian: 088-712222.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak memuatnaik sebarang bahan yang tidak sahih di mana-mana platform media sosial mengenai kejadian ini bagi mengelakkan kegusaran yang boleh menganggu-gugat keselamatan orang awam.


































