Anwar Ibrahim melihat sel pemusnah semula jadi melalui mikroskop di sebuah reruai selepas merasmikan Jelajah Bioekonomi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyediakan 100 saintis bioteknologi ke 100 buah sekolah bagi meningkatkan minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, ia berikutan minat murid terhadap bidang tersebut menurun.
Justeru, kata beliau, kementerian itu perlu menjalankan kerjasama lebih erat dengan Kementerian Pendidikan bagi mengadakan program meningkatkan minat golongan muda terhadap STEM.
Selain itu katanya, syarikat swasta turut diharap dapat membantu dengan terlibat dalam usaha tersebut.
“Ini akan dapat melonjakkan minat pelajar terhadap STEM. Kita dapat guna maklumat dalam bidang itu dan sampaikan ke peringkat bawah.
“Jangan pandang ringan bab ini kerana kita dapat maklumat, sekolah, terutamanya di pinggir bandar dan kawasan luar bandar jauh ketinggalan.
“Luangkan sebulan sekali, dua jam begitu, turun ke sekolah dan berikan sedikit pencerahan,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Bioekonomi Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, semalam.
Beliau mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta untuk pelaksanaan Program Pemecut Berasaskan Bio (BBA) bagi membantu industri menjadi lebih inovatif dan celik teknologi.
Anwar berkata, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang diminta menyenaraikan 100 saintis dalam tempoh dua minggu bagi menjayakan agenda tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak boleh menggunakan kaedah pendekatan dan prosedur operasi standard (SOP) ketika ini untuk mencapai satu pencapaian baharu.
Sebaliknya, kata beliau, negara mesti mengambil langkah segera untuk meningkatkan keadaan ke tahap lebih baik.
“Seluruh pasaran dan kekuatan ada di negara ini, tidak ada sebab kita tidak mencapainya dengan syarat kita boleh tanam minat serta kesedaran. Kita meninggalkan kaedah lama supaya petani, nelayan, peladang dan semua bidang dapat manfaat bioteknologi dalam mengembangkan bioekonomi yang baharu di negara kita,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, akan bertemu keluarga mendiang Teoh Beng Hock minggu depan.
“Saya akan berjumpa keluarga Beng Hock minggu depan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Minggu depan saya tidak sibuk,” katanya ketika diminta mengulas sama ada sudah mengatur pertemuan dengan keluarga Beng Hock.
Ia susulan beliau sebelum ini memberi jaminan akan bertemu dengan keluarga mendiang dalam masa terdekat ini.
Jaminan itu berikutan sekumpulan aktivis yang menuntut keadilan atas kematian Beng Hock disekat daripada menghampiri bangunan Parlimen di ibu negara, Isnin lepas.
Beng Hock yang merupakan Setiausaha politik kepada Exco Selangor daripada DAP ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.
Pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematian mendiang akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Sementara itu, Anwar berkata, persepsi negatif dan kejahilan terhadap Islam perlu diperbetul dengan segera dan lebih berkesan untuk menangani gejala Islamofobia yang berpunca daripada sikap Xenofobia.
Justeru, kerajaan terus memantapkan dan mendukung usaha memupuk empati dan persefahaman serta perbezaan antara agama dan budaya.
Katanya, beliau bersama sarjana dan pemikir tempatan serta luar negara senada melihat keperluan untuk segera menangani gejala Islamofobia secara tuntas dan berkesan.
“Pandangan kami senada melihat keperluan untuk segera menangani gejala Islamofobia secara tuntas dan berkesan dengan merangkul usaha pelbagai pihak bagi meluruskan persepsi yang berakar daripada Xenofobia dan kejahilan, di samping memperbetul kaedah pengajaran Islam.
“Usaha memupuk empati dan persefahaman antara agama dan budaya berbeza harus terus dimantapkan dan akan didukung kerajaan,” katanya dalam Facebook beliau.































