Mansur (tiga dari kiri) memasangkan pingat penghargaan kepada penerima Anugerah Perkhidmatan 30 Tahun.
KOTA KINABALU: Masanya sudah tiba bagi Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) perlu mempelbagaikan rantaian nilai dan aktiviti dalam perniagaannya.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin yang juga Pengerusi KOSAN berkata, KOSAN perlu membangunkan tanah-tanahnya yang sedia ada seperti tanah di Putatan dan Tuaran.
Katanya, pembangunan ini akan dapat menjana pendapatan dalam jangka masa panjang, sambil menambah ini secara langsung dapat membantu belia-belia di luar mendapat pekerjaan.
“Dengan jumlah dan kapasiti tenaga pekerja yang sedia ada sudah seharusnya KOSAN mampu menumpukan aktiviti perniagaan yang baharu.
“Saya menyeru agar Anggota Lembaga Koperasi (ALK) berserta pengurusan memikirkan aktiviti-aktiviti perniagaan yang baharu agar KOSAN terus di dalam ingatan umum.
“Saya juga menyeru kepada semua anggota-anggota untuk memberikan sokongan penuh kepada usaha ini agar kita lebih stabil dan memberikan pulangan yang berlipat ganda kepada anggota dan warga KOSAN.
“KOSAN perlu untuk berdiri sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada tempahan Kerajaan yang pada dasarnya boleh ditarik pada bila-bila masa sahaja,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-40 KOSAN di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, di sini, Selasa. Ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun.
Terdahulu, Ellron memaklumkan bahawa ALK bersama pengurusan sentiasa berusaha dengan penuh dedikasi dalam menempuhi pelbagai cabaran sepanjang menjalankan perniagaan koperasi.
Beliau yakin bahawa barisan ALK yang telah diberi mandat oleh anggota dapat mengorak langkah positif untuk mencari pasaran di samping mempelbagaikan produk KOSAN yang berkualiti dan seterusnya mengurangkan kebergantungan KOSAN terhadap tempahan Kerajaan.
“Dalam perkara ini, ALK harus peka terhadap saranan Kerajaan agar sentiasa berusaha memenuhi kriteria permintaan Kerajaan dari segi kualiti pakaian seragam dan kasut sekolah dan seterusnya membuktikan bahawa KOSAN mampu untuk mendukung amanah yang diberikan oleh Kerajaan dalam aktiviti sosial terutama sekali untuk pembekalan pakaian seragam dan kasut kepada murid-murid sekolah.
“Saya diberi amanah untuk menerajui KOSAN dan sekali gus memastikan koperasi ini diurus tadbir dengan baik dan teratur agar menjadi sebuah koperasi yang boleh dibanggakan oleh semua anggotanya terutama rakyat Sabah amnya. Justeru itu, saya tahu ini menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengharungi cabaran yang mendatang.
“Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa semua rintangan ini dapat diatasi sekiranya kita sentiasa komited dan bersedia bekerjasama mencari jalan mengatasi masalah ini demi kepentingan KOSAN,” ujarnya.
Pada tahun-tahun sebelumnya, KOSAN diberi kontrak pesanan Kerajaan untuk pakaian seragam dan kasut sekolah untuk dua pasang namun telah dikurangkan kepada sepasang dan tempoh kontrak perjanjian juga telah dikurangkan kepada dua tahun pada tahun ini.
“Saya yakin pihak Kerajaan akan menilai prestasi KOSAN pada tahun ini dan tahun hadapan. Maka saya menyeru agar kualiti pembekalan pakaian seragam dan kasut memenuhi kehendak pesanan Kerajaan,” kata Ellron.
Mansur turut mewakili Ellron menyampaikan Anugerah Pekerja Cemerlang (2023) kepada enam penerima, Anugerah Perkhidmatan 25 tahun, 30 tahun dan 35 tahun kepada 12 penerima dan Anugerah Penghantaran Bekalan Pakaian Seragam dan Kasut kepada 20 penerima.
































