Dr. Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memaklumkan, prevalen bantut dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak serta orang dewasa di negara ini telah menunjukkan peningkatan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, prevalen bantut bagi kanak-kanak meningkat daripada 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.2 peratus pada 2022.
Malah katanya, prevalen obesiti dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun juga meningkat daripada empat peratus pada 2025 kepada 5.6 peratus (2019) dan enam peratus (2022).
Selain itu katanya, prevalen berlebihan berat dalam dalam kalangan murid berumur 10 hingga 17 tahun juga meningkat daripada 14.6 peratus pada 2012 kepada 15.6 peratus (2027), manakala prevalen obesiti turut meningkat daripada 12.3 peratus (2012) kepada 14.8 peratus (2017.
“Data ini menunjukkan bahawa 1 daripada 3 orang murid sekolah mengalami sama ada masalah berlebihan berat badan atau obes; dan prevalen obesiti dalam kalangan dewasa meningkat daripada 19.7 peratus pada 2019 kepada 21.8 peratus (2023),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, hari ini.
Dzulkefly berkata, pihaknya komited memerangi masalah beban berganda dalam soal pemakanan termasuk masalah bantut dan obesiti yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan tidak terhad kepada masalah pemakanan sahaja.
“Antara usaha berterusan KKM ialah menyemak semula pelaksanaan strategi dan program selari dengan dasar dan halatuju kementerian seperti Kertas Putih Kesihatan, Dasar Pemakanan Kebangsaan (DPKM) 2.0, Reviewed Nutrition Policy Options to Combat Obesity in Malaysia dan National Strategic Plan for Non-Communicable Diseases (NSP-NCD 2016-2025).
“Usaha-usaha ini diperkukuhkan lagi dengan pendekatan menyeluruh kerajaan melalui kolaborasi atau kerjasama dengan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi antaranya melalui Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam Kalangan Kanak-kanak dan Jawatankuasa,” katanya.
Jelas Dzulkefly lagi, antara program dan aktiviti yang telah disemak semula bagi mengatasi isu bantut dan obesiti adalah memperkukuhkan inisiatif 1,000 hari pertama kehidupan iaitu dengan mensasarkan kumpulan ibu hamil sehingga kanak-kanak berumur dua tahun.
Katanya, program itu meliputi penjagaan kesihatan dan pemakanan serta memperluaskan kriteria penerima dalam Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan atau Program Bakul Makanan bermula Jun 2022.































