Penyerang Sepanyol, Alvaro Morata menjulang trofi bersama rakan sepasukan selepas mengungguli UEFA Euro 2024 menentang England di Olympiastadion, Berlin, hari ini.
BERLIN: Sepanyol menemui gol kemenangan penting pada minit-minit akhir permainan untuk menafikan England 2-1 sekali gus merangkul gelaran Euro 2024, pagi ini.
Menurut Utusan Malaysia, aksi di Olympiastadion itu menyaksikan Nico Williams membuka jaringan menerusi penyudah yang menakjubkan melalui hantaran bintang muda baharunya, Lamine Yamal pada minit ke-47 permainan.
England tidak pernah berhenti berjuang dengan Cole Palmer menyamakan kedudukan pada minit ke-73 hanya selepas menggantikan Harry Kane, tetapi ia akhirnya menjadi sia-sia.
Mikel Oyarzabal yang hadir dari bangku simpanan menggantikan Alvaro Morata membantu Sepanyol meraih gelaran keempat Eropah apabila meledak gol pada minit ke-86 menerusi hantaran Marc Cucurella.
Ketika Sepanyol meraikan tujuh kemenangan berturut-turut di Euro 2024 sebagai pasukan cemerlang kejohanan itu, penantian 58 tahun England untuk trofi utama masih diteruskan.


































