PETALING JAYA Seorang wanita warga Indonesia dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan dalam serbuan di sebuah rumah dekat Taman Tropika Kemensah dekat sini, Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira pukul 12.45 pagi susulan maklumat diterima.
“Kita berjaya menyelamatkan mangsa berumur 41 tahun itu di rumah berkenaan.
“Susulan itu, operasi sama turut menahan seorang wanita warga tempatan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Menurutnya, serbuan dijalankan turut membuat rampasan berkaitan kes itu.
“Suspek yang ditahan telah dibawa ke Mahkamah Ampang bagi permohonan tahanan reman dan dikenakan reman lima hari bagi siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan orang dan Antipenyeledupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

































