SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan keganasan termasuk insiden tembakan terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bukan jalan penyelesaian terhadap sesuatu isu.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, Malaysia mengecam serangan ke atas Trump yang cedera akibat terkena tembakan semasa kempen jerayawara pemilihan presiden negara itu di Pennsylvania, semalam.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap Trump dan berharap keadaan di sana terkawal.
Katanya, keganasan bukanlah jawapan walaupun terdapat pihak lain yang menentang seseorang tokoh politik.
“Kita (kerajaan Malaysia) baharu dapat maklumat awal…apa pun pendirian kita tentang mana-mana tokoh, ini bukan cara untuk menyelesaikan isu.
“Oleh yang demikian, kita lahirkan simpati kepada Donald Trump dan mengharapkan keadaan terkawal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2024 peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di sini, hari ini.
Trump dilaporkan cedera dalam insiden tembakan semasa berkempen di Pennsylvania.
Menurut rakaman di media sosial, kecederaan dialami Trump menyaksikan telinga kanannya berlumuran berdarah ketika dibawa keluar dari pentas.
Perkhidmatan Rahsia dilaporkan berkata, ia telah melaksanakan langkah perlindungan dan bekas presiden itu selamat.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis ke atas kem pelarian al-Mawasi pada 13 Julai lalu.
“Malaysia mengutuk keras pengganas Israel ke atas penduduk wanita, orang awam dan kanak-kanak di Gaza.
“Tindakan ini diteruskan kerana kegagalan negara besar mempertahan kemanusiaan dan hak, oleh itu, kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian kita keras mengutuk kezaliman berterusan tanpa perikemanusiaan rejim zionis Israel,” katanya.