Anwar Ibrahim
BANGI: Pengecualian kenaikan gred secara automatik atau ‘time-based’ perlu dikenakan terhadap warga pendidik yang mempunyai masalah disiplin dan cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, guru yang bermasalah tidak seharusnya menerima manfaat tersebut walaupun sistem kenaikan gred itu diberikan kepada mereka sejak beberapa tahun lalu.
“Kalau disiplinnya lemah, dalam setahun banyak hari tidak pergi ke sekolah. Saya nak batalkan (kenaikan gred tersebut). Kenaikan pangkat automatik daripada prinsipnya (dibenarkan) tetapi dikecualikan bagi yang cuai atau melanggar disiplin.
“Ada guru prestasinya sangat lemah, jadi kita harus teliti ini tetapi saya percaya 90 peratus (guru) tidak mempunyai masalah,” katanya semasa berucap di Majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini, hari ini.


































