Hajiji (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek daripada Mohamad (dua dari kanan) kepada Dr. Jeffrey.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM33,593,226 daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Persekutuan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu kepada Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan di sini kelmarin.
Acara tersebut diadakan semasa kunjungan hormat Mohamad kepada Hajiji di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya
Ia turut dihadiri Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding
Peruntukan tersebut adalah untuk melaksanakan usaha meningkatkan keterjaminan makanan di negeri ini, antaranya pemerkasaan ternakan bersepadu ruminan dan pemulihan sawah-sawah padi terbiar.
Sementara itu, Ketua Menteri turut merakamkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan menerusi KPKM dalam membantu usaha Kerajaan Negeri meningkatkan keterjaminan makanan di negeri ini.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut komited meningkatkan tahap sara diri (SSL) hasil pertanian terutamanya padi termasuk menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah, selain melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan SSL beras daripada 22 peratus tahun ini kepada 31 peratus pada tahun 2025.
Katanya, ini termasuklah memberi penekanan kepada pembangunan padi tanah kering iaitu penanaman padi bukit, pada tahun ini.
































