Ramli Mohamed Yoosuf
PETALING JAYA: Pemilik akaun keldai bakal berdepan hukuman lebih berat apabila pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan 2024 diluluskan Dewan Rakyat, Rabu lalui.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, perkembangan itu amat dialu-alukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan buat masa ini tiada sebarang peruntukan khusus bagi menghukum pesalah melibatkan akaun keldai.
“PDRM yakin pindaan ini bakal memberikan landskap baharu dalam penguatkuasaan undang-undang jenayah komersial,” katanya di sini, hari ini.
Rabu lalu, media melaporkan Dewan Rakyat meluluskan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 bertujuan mewujudkan peruntukan bagi kesalahan membabitkan kaedah pembayaran atau akaun di institusi kewangan.
RUU yang dibahaskan oleh 21 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang diluluskan dengan suara majoriti selepas dibentang pertama kali pada Selasa.
Kelulusan RUU itu diumumkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas digulung Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran.
Kulasegaran dilaporkan berkata, sebanyak 74,464 kes jenayah penipuan dalam talian direkodkan dari tahun 2022 hingga kini membabitkan kerugian berjumlah RM2.65 bilion.
Ramli berkata, beberapa peruntukan baharu telah diluluskan antaranya Seksyen 424A Kanun Keseksaan untuk kesalahan dan penalti bagi pemilikan atau kawalan terhadap instrumen pembayaran atau akaun bank orang lain.
Selain itu, jelas beliau, Seksyen 424B Kanun keseksaan untuk kesalahan dan penalti bagi pemberian pemilikan atau kawalan terhadap instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan.
“Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan pula peruntukan kesalahan dan penalti bagi seseorang yang terlibat dalam mana-mana transaksi menggunakan instrumen pembayaran atau akaunnya di institusi kewangan,” jelasnya.
Beliau berkata, Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan untuk peruntukan dan penalti bagi seseorang yang terlibat dalam mana-mana transaksi menggunakan mana-mana instrumen pembayaran orang lain atau mana-mana akaun orang lain di institusi kewangan.
“Seksyen 424D Kanun Keseksaan, peruntukan bagi takrif ‘institusi kewangan’ dan ‘instrumen pembayaran’ dalam konteks Seksyen baharu 424A, 424B dan 424C.
“Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah, bertujuan untuk memberikan kuasa kepada pegawai polis dengan pangkat tidak kurang dari Sarjan untuk merampas atau menyekat urusan berkaitan transaksi kewangan,” katanya.


































